Isu keselamatan makanan perlu jadi keutamaan

Seorang pelanggan memilih barang keperluan harian termasuk ikan bilis di sebuah pasar raya. -Foto Bernama
Seorang pelanggan memilih barang keperluan harian termasuk ikan bilis di sebuah pasar raya. -Foto Bernama
A
A
A

SEJAK beberapa tahun lalu, isu keselamatan makanan diperkatakan dalam kalangan banyak pihak terutama ahli akademik dan kerajaan.

Ini kerana kebergantungan negara kepada bahan makanan yang diimport agak membimbangkan sedangkan usaha memastikan Malaysia tidak mengalami krisis makanan pada masa depan masih belum mencukupi.

Bagi menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian, isu keselamatan makanan hanyalah penyedap teks ucapan semata-mata.

Pada tahun lalu, terdapat satu laporan akhbar yang mendedahkan secara purata rakyat Malaysia makan kira-kira 78 kilogram beras setahun, menyebabkan negara memerlukan tiga juta tan beras setahun bagi menampung permintaan itu.

Bagaimanapun, pengeluaran beras negara pada ketika itu hanya kira-kira dua juta tan setahun mengakibatkan Malaysia banyak bergantung kepada beras import.

Timbul kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak kemungkinan negara pembekal menghentikan import bahan makanan itu.

Nampaknya, kebimbangan itu benar-benar terjadi apabila Vietnam menghentikan import beras mereka kepada Malaysia bagi membolehkan rakyat di negara itu mendapat bekalan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, penganalisis tempatan meramalkan stok beras negara masih mampu bertahan dalam tempoh enam bulan lagi berdasarkan stok dan kemampuan pengeluaran beras tempatan.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, dilaporkan kira-kira 54,000 pesawah di Kedah dan Perlis hanya mampu mengeluarkan kira-kira satu juta tan beras setahun.

Ini berikutan jumlah keluasan sawah semakin kecil kerana kawasan tersebut ditukar status daripada tanah pertanian kepada tanah komersial.

Sesungguhnya, Covid-19 memberikan iktibar supaya kita tidak mengambil mudah isu ini.

Sebaik sahaja kemelut Covid-19 ini selesai, usaha yang serius perlu dilakukan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi.

Petani perlu diberikan insentif yang lebih besar supaya hasil tani mencukupi dan berkualiti.Inovasi dan kajian baharu dalam pertanian juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia bukan sekadar pengimport tetapi menjadi pengeksport makanan pada masa depan.