MAINPP peruntuk RM2 juta, 7,403 pelajar sertai MPDCA 2026

KEPALA BATAS - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) 2026 yang bakal memberi manfaat kepada 7,403 murid dan pelajar daripada 109 sekolah di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, program berkenaan melibatkan 71 sekolah rendah dan 38 sekolah menengah dengan peruntukan itu digunakan bagi membiayai kelas tuisyen, penyediaan modul pembelajaran, seminar akademik, bengkel teknik menjawab peperiksaan serta kem kecemerlangan.
Menurutnya, usaha berterusan itu bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar khususnya dalam kalangan asnaf sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"MPDCA yang dilaksanakan sejak 2006 merupakan hasil kerjasama strategik antara MAINPP, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
"Kerjasama berkenaan membuktikan dana zakat bukan sekadar disalurkan sebagai bantuan kebajikan jangka pendek sebaliknya menjadi pelaburan strategik dalam membangunkan modal insan.
“Selaras dengan slogan Transformasi Asnaf Melalui Zakat, kita berharap program ini mampu membantu golongan asnaf berdikari, membina kehidupan lebih baik dan akhirnya mengubah nasib mereka daripada penerima zakat kepada golongan profesional serta pembayar zakat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Guru Penyelaras MPDCA 2026 di Bertam Resort di sini pada Rabu.
Mohamad berkata, MPDCA diteruskan kerana terbukti memberi impak positif terhadap pencapaian akademik pelajar berdasarkan data yang dikemukakan oleh JPNPP.
Menurutnya, guru-guru di sekolah terpilih di bawah program itu mengendalikan kelas tambahan secara berterusan sehingga berjaya meningkatkan skor, prestasi dan kecemerlangan murid dalam peperiksaan.
Tambah beliau, kejayaan yang direkodkan sejak program itu diperkenalkan menjadi antara faktor utama MAINPP terus mengekalkan pelaksanaannya.
“Program ini terbukti cemerlang dalam membentuk pelajar dan kita berharap ia dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menambah, selain MPDCA, MAINPP turut memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan lain sepanjang tahun ini.
Katanya, antaranya ialah Dermasiswa Pengajian Tinggi berjumlah RM22.36 juta, Skim Permulaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM6.3 juta serta masing-masing RM3 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, pendidikan terus menjadi fokus utama agihan zakat kerana ia merupakan instrumen paling berkesan untuk memutuskan rantaian kemiskinan secara berterusan.
Menurutnya, menerusi MPDCA, murid Tahun Enam akan mengikuti kelas bimbingan secara percuma bagi empat subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, mereka akan mengikuti bimbingan melibatkan 13 subjek termasuk tiga subjek Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) selain bengkel teknik menjawab peperiksaan dan kem pengukuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Kairi memaklumkan Zakat MAINPP mencatat sejarah apabila merekodkan kutipan zakat tertinggi melebihi RM202 juta pada tahun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, lebih RM200 juta berjaya diagihkan kepada lebih 45,000 penerima asnaf termasuk ribuan pelajar.
“Pencapaian ini membuktikan setiap ringgit zakat yang ditunaikan bukan sekadar bantuan kewangan malah merupakan pelaburan sosial yang mampu mengubah kehidupan individu, keluarga dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

