Mayat doktor muda ditemui dalam semak

JAKARTA – Kematian seorang pegawai perubatan daripada Program Pendidikan Doktor Pakar (PPDS) di Indonesia telah mendapat perhatian masyarakat.
Mayat doktor muda itu ditemui di kawasan semak berhampiran pagar Hospital Tengku Rafian, Desa Kampung Dalam di Riau pada Selasa.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Siak, AKP Raja Kosmos berkata, mangsa dikenali sebagai Alex Cristo Loris, 31, seorang doktor residen bidang anestesiologi yang sedang menjalani tugasan pengajian di Hospital Tengku Rafian.
"Mangsa dilaporkan hilang sejak petang Isnin selepas meninggalkan kawasan hospital. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia dilihat berjalan keluar dari kawasan Hospital Umum Daerah (RSUD) tersebut ke lokasi tidak diketahui," ujarnya.
Ketika ini, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Sektor kesihatan di Indonesia khususnya melibatkan doktor dan petugas kesihatan berada dalam keadaan yang tidak baik. Kami sangat prihatin kerana banyak kes termasuk berkaitan buli telah menjejaskan doktor,” kata Setiausaha Agung Persatuan Doktor Indonesia (PB IDI), Telogo Wismo Agung Durmanto pada Rabu.
Menurutnya, PB IDI masih berkoordinasi dengan IDI tempatan bagi menyiasat perkara tersebut. PB IDI juga biasanya terlibat dalam proses siasatan yang dijalankan untuk kes-kes sedemikian.
Sebelum ini, satu lagi kematian dilaporkan melibatkan seorang doktor residen dalam bidang anestesiologi di Hospital Kandou, Manado yang dikenali sebagai AR.
Kematian doktor tersebut disyaki berpunca daripada tekanan melampau akibat tindakan buli sepanjang mengikuti program latihan kepakaran. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

