Adly masih sokong Ab Rauf, kerjasama PH-BN Melaka ditentukan esok

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan beliau masih menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh buat masa ini walaupun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP telah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

ADUN Bukit Katil itu berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan PH dalam pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan selepas Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada Khamis.

Menurutnya, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan setiap isu yang timbul dan perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh bersama parti-parti komponen.

“Esok PH Melaka akan berbincang. Pandangan ADUN-ADUN dan parti-parti dalam PH akan diambil kira.

“Paling utama, kita juga akan mengambil kira pandangan Perdana Menteri sebelum memaklumkan keputusan hasil perbincangan tersebut,” katanya di Seri Negeri di sini pada Rabu.

Mengulas tindakan sebahagian ADUN meninggalkan kerajaan negeri, Adly berkata, tiada sebarang perjanjian khusus yang dimeterai ketika PH menyertai pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Katanya, sebarang keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan bukan sahaja melibatkan jawatan Exco, Timbalan Speaker atau lantikan di peringkat Japerun, malah turut membabitkan lantikan politik seperti ahli majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Bagi saya, semua perkara ini perlu dibincangkan secara khusus bagi memastikan urusan rakyat tidak terjejas.

“Seperti yang diungkapkan Perdana Menteri, keutamaan kita adalah rakyat. Selain itu, kita juga akan memastikan mekanisme yang diambil tidak mengganggu urusan berkaitan masyarakat dan rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan prinsip demokrasi dan hak rakyat akan terus dipertahankan oleh PH.

“Buat masa ini, Ketua Menteri kita masih Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan kita akan terus menyokong beliau sehingga keputusan lanjut dibuat selepas perbincangan esok,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!