Warga asing ditahan lakukan aksi tidak senonoh di taman permainan

Seorang lelaki warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan aksi tidak senonoh di sebuah taman permainan awam di Cyberjaya pada Selasa. Foto hiasan
Seorang lelaki warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan aksi tidak senonoh di sebuah taman permainan awam di Cyberjaya pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki warga asing berusia awal 20-an ditahan kerana dipercayai melakukan aksi tidak senonoh di sebuah taman permainan awam di Cyberjaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada jam 7.18 malam.

"Suspek dipercayai memasukkan tangan ke dalam seluar sambil merenung ke arah wanita berkenaan.

“Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita terbabit mendapatkan bantuan orang awam sebelum suspek berjaya ditahan oleh beberapa individu di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Norhizam berkata, suspek kemudian diserahkan kepada anggota polis yang tiba di tempat kejadian untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan tidak bermoral yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat, khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak di tempat awam.

“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek sehingga berjaya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!