KRPPM-IGAR gesa RUU pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini

Azli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Rabu.
Azli (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Govenans dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Pemisahan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini.

Pengerusinya, Azli Yusof berkata, langkah itu penting supaya usaha memperkukuhkan kebebasan institusi pendakwaan dapat direalisasikan tanpa sebarang kelewatan.

“KRPPM-IGAR percaya bahawa reformasi ini bukan milik mana-mana parti politik, kerajaan atau pembangkang. Ia adalah reformasi untuk negara.

“Inilah masanya untuk kita semua mengembalikan keyakinan rakyat bahawa Malaysia akan memulakan sistem keadilan jenayah yang lebih baik, tiada lagi persepsi pendakwaan selektif.

“Tiada lagi campur tangan dalam menentukan keadilan dan mandat rakyat dapat diangkat dengan fungsi Parlimen yang diiktiraf oleh pindaan ini,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Isnin memaklumkan, bacaan kali kedua RUU berkenaan ditangguhkan sehingga selepas cadangan pindaan itu dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sebagai menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta memastikan proses reformasi perlembagaan dilaksanakan secara tertib dan berhemah.

Mengulas lanjut, Azli berkata, tiada alasan lagi untuk menangguhkan pembentangan RUU berkenaan bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat memandangkan ia telah melalui penelitian menyeluruh melibatkan Bahagain hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Jemaah Menteri, pakar, masyarakat sivil serta pihak berkepentingan melalui sesi libat urus sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, reformasi berkenaan juga telah melalui proses semakan yang langkah dan sewajarnya.

“Kini tiba masanya Parlimen melaksanakan tanggungjawab Perlembagaannya untuk meneliti, membahaskan dan membuat keputusan terhadap satu reformasi yang telah lama dinantikan.

“Pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi institusi yang paling besar dalam usaha memperkukuhkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, reformasi itu bukan bertujuan untuk melemahkan mana-mana institusi, sebaliknya memastikan keputusan pendakwaan dibuat secara bebas, profesional dan tiada sebarang persepsi campur tangan politik atau konflik kepentingan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, KRPPM-IGAR turut berpandangan bahawa pembentangan RUU Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 perlu diperkukuhkan semula sebelum dibentangkan memandangkan terdapat beberapa peruntukan yang memerlukan penelitian lanjut.

Katanya, penelitian semula itu penting bagi memastikan akta yang bakal diwujudkan benar-benar memenuhi prinsip kebebasan maklumat selaras amalan demokrasi moden.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!