[VIDEO] Menteri ambil perhatian isu ceramah agama tanpa tauliah dalam talian

A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil perhatian terhadap isu penyampaian ceramah agama tanpa tauliah secara dalam talian susulan penggunaan platform media sosial yang semakin meluas.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini, bidang kuasa berkaitan pemberian tauliah untuk mengajar agama terletak di bawah kerajaan negeri, termasuk menentukan individu yang layak menerima tauliah serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar etika.

“Dari aspek mengajar agama tanpa tauliah secara dalam talian, kita masih meneliti cara untuk menangani perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Kedua 2026 di sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan masih meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu berkenaan kerana perkara itu melibatkan aspek perundangan yang perlu diperhalusi.

“Di peringkat jabatan, kita sentiasa memastikan mereka yang dijemput untuk ke udara dan sebagainya mempunyai tauliah,” jelas Zulkifli.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kekangan penguatkuasaan yang dihadapi pegawai penguat kuasa agama dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Zulkifli
Zulkifli

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu, khususnya jenayah siber.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah kekal berkesan serta diyakini masyarakat.

“Pendakwaan syariah perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Pengurusan kes secara digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pemodenan prasarana dan sistem pengurusan kes hendaklah dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ketelusan penyampaian keadilan,” katanya.

Menurut beliau, cabaran jenayah yang semakin kompleks turut menuntut pendakwa syarie meningkatkan kompetensi dalam pelbagai bidang baharu.

“Kita mahu melahirkan pendakwa syarie yang bukan sahaja mempunyai kefahaman syariah yang mantap, malah menguasai kemahiran perundangan moden.

“Dalam era jenayah yang semakin kompleks, pendakwa syarie perlu sentiasa meningkatkan kompetensi, termasuk dalam aspek forensik digital, analisis data, teknologi dan teknik advokasi supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dengan tahap profesionalisme yang tinggi,” jelas beliau.

Tambahnya, gabungan ilmu syarak, kepakaran teknikal dan integriti yang tinggi diyakini mampu melahirkan pendakwa syarie yang lebih berwibawa, sekali gus mengangkat martabat institusi pendakwaan syariah negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!