[VIDEO] Krisis Asia Barat: Kerajaan dijangka tanggung subsidi petroleum hampir RM40 bilion
KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun ini, tertakluk kepada perkembangan krisis di Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, jangkaan itu mengambil kira harga minyak yang terus menyederhana pada bulan ini.
“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
“Subsidi pada bulan Mei dan Jun pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai penilaian terkini kerajaan terhadap kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.
Ujarnya, setiap perubahan sebanyak 1 dolar Amerika Syarikat (AS) setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen Petronas.
“Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api.
“Kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan keupayaan Kerajaan menampung keperluan perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, beliau dalam masa sama turut memaklumkan, semakan semula kepada unjuran fiskal 2026 akan diumumkan semasa Belanjawan 2027 kelak sekiranya perlu.
Ujarnya, pertimbangan itu akan dibuat setelah mengambil kira indikator ekonomi terkini dan prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan sehingga separuh pertama tahun ini.
“Berdasarkan senario ekonomi global semasa, kerajaan sentiasa memantau kesan krisis terhadap kedudukan kewangan negara.
“Sungguhpun demikian, kerajaan kekal yakin bahawa trajektori konsolidasi fiskal jangka sederhana dapat diteruskan melalui pelaksanaan subsidi bersasar, penyusunan semula keutamaan perbelanjaan dan pengukuhan kutipan hasil serta pematuhan cukai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

