EU lancar 'Inisiatif Pasukan Gaza'

BRUSSELS - Suruhanjaya Eropah (EC) bersama lebih 12 negara pada Isnin melancarkan satu inisiatif bagi menyalurkan dana berjumlah 883.6 juta euro (RM4.1 bilion) untuk membantu usaha awal pemulihan Genting Gaza.
Inisiatif baharu digelar sebagai 'Inisiatif Pasukan Gaza' itu diumumkan semasa pertemuan pembiaya di Brussels yang akan menyokong projek seperti pemulihan sistem bekalan air dan sanitasi, pembersihan runtuhan serta pembinaan semula sistem kesihatan.
Ia disertai Sepanyol, Denmark, Britain, Jerman, Norway, Finland, Itali, Belanda, Perancis, Jepun, Switzerland, Sweden dan Belgium bersama Bank Dunia serta Bank Pelaburan Eropah. Australia dan Kanada juga dijangka menyertai usaha tersebut.
"Matlamat kami jelas iaitu membantu membina harapan, daya tahan dan masa depan yang lebih baik untuk penduduk Palestin yang dilanda perang ganas lebih dua tahun," kata Pesuruhjaya Eropah untuk Mediterranean, Dubravka Suica.
Bagaimanapun EC tidak menyatakan pecahan jumlah sumbangan yang akan disalurkan oleh setiap rakan kongsi.
Sebelum ini, Sepanyol, Ireland dan Belgium menggesa supaya sekatan ketat dikenakan terhadap Israel berhubung dasar peluasan penempatan haram Yahudi yang merampas tanah milik penduduk Palestin.
Beberapa negara dalam Eropah mendesak agar larangan perdagangan dengan komuniti di penempatan haram Israel dilaksanakan.
Difahamkan, penguatkuasaan larangan itu memerlukan majoriti layak sekurang-kurangnya 15 negara anggota EU yang mewakili 65 peratus daripada jumlah penduduk blok tersebut.
Ketika ini, kira-kira dua juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di bawah khemah sementara atau bangunan separa rosak.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan telah menguasai kira-kira 70 peratus kawasan di wilayah tersebut yang disebut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai zon penampan kononnya bagi menghalang serangan Hamas.
Pemimpin ekstremis itu menegaskan rejim Zionis tidak akan berundur dari Gaza di bawah pelan jahat untuk mengilhak seluruh enklaf berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

