SFV hasilkan lebih 1,000 tan hasil pertanian, perkukuh keterjaminan makanan negeri

Mohamad Khairil ketika sidang akhbar Program Familiarisation PKPS di SFV di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Selasa. Foto: Bernama
Mohamad Khairil ketika sidang akhbar Program Familiarisation PKPS di SFV di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Selasa. Foto: Bernama
A
A
A

SELANGOR Fruit Valley (SFV) menghasilkan lebih 1,000 tan pelbagai jenis buah-buahan dan hasil pertanian setakat tahun ini dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri, selain terus memperluaskan pembangunan sektor agromakanan dan pemuliharaan buah-buahan nadir tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pengeluaran hasil itu membuktikan SFV bukan sekadar destinasi agropelancongan, malah menjadi antara pusat pengeluaran makanan penting di bawah PKPS.

Menurut beliau, pengeluaran hasil pertanian di SFV meliputi pelbagai jenis buah-buahan termasuk durian, rambutan dan tanaman lain yang dibekalkan kepada pengguna tempatan.

“Setakat tahun ini, SFV telah menghasilkan lebih 1,000 tan pelbagai jenis buah-buahan dan hasil pertanian sebagai sebahagian daripada usaha menyokong keterjaminan makanan negeri Selangor.

“Kuantiti pengeluaran ini dijangka terus meningkat selaras dengan pertambahan kawasan tanaman dan hasil yang dituai mengikut musim,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Selasa.

Program itu disertai kira-kira 100 wakil media, pencipta kandungan digital dan pempengaruh bagi melihat sendiri transformasi yang sedang dilaksanakan di SFV.

Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley pada Selasa disertai kira-kira 100 wakil media, pencipta kandungan digital dan pempengaruh bagi melihat sendiri transformasi yang sedang dilaksanakan di SFV.
Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley pada Selasa disertai kira-kira 100 wakil media, pencipta kandungan digital dan pempengaruh bagi melihat sendiri transformasi yang sedang dilaksanakan di SFV.

Mengulas lanjut Mohamad Khairil berkata, PKPS tidak menetapkan sasaran pengeluaran berdasarkan jumlah tan metrik semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada memaksimumkan penggunaan tanah pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

Artikel Berkaitan:

“PKPS mempunyai kira-kira 1,000 hektar tanah pertanian dan sasaran kami adalah memanfaatkan sepenuhnya kawasan itu untuk menyokong agenda sekuriti makanan negeri.

“Kita melihat semua aktiviti termasuk pengeluaran hasil pertanian, agropelancongan dan penglibatan usahawan tani sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi,” katanya.

Mohamad Khairil berkata, SFV turut membangunkan kawasan tanaman buah-buahan nadir seluas 2.02 hektar sebagai usaha memulihara khazanah buah-buahan tempatan yang semakin sukar ditemui.

Menurut beliau, projek yang mengambil masa kira-kira dua tahun setengah untuk dibangunkan itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian dan potensi setiap tanaman.

Katanya, antara buah-buahan nadir yang ditanam ialah rambai, kerdas, sentol, keranji, salam, cermai Belanda, kundang, tampoi, beruas, kandis burung, mentega, nam-nam dan melinjau.

“Buah-buahan nadir ini sukar diperoleh dan mempunyai pasaran tersendiri. Sebab itu kita menjalankan penyelidikan menerusi Agriculture Centre of Excellence (ACE) bagi memastikan tanaman ini dapat dipelihara dan dikembangkan.

“Selain mempunyai nilai komersial, usaha ini juga penting bagi memulihara biodiversiti serta memastikan khazanah buah-buahan tempatan terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, tanaman buah-buahan nadir turut sesuai dibangunkan di kawasan tertentu yang tidak sesuai ditanam dengan tanaman komersial seperti kelapa sawit atau getah, sekali gus memberi nilai tambah kepada penggunaan tanah.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Khairil berkata, SFV merekodkan pendapatan kira-kira RM7 juta pada tahun lalu hasil daripada jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.

Menurutnya, SFV turut mencatat keuntungan sekitar RM1.5 juta pada tahun lalu selepas pelbagai inisiatif penambahbaikan dilaksanakan oleh PKPS.

“Sebelum ini operasi SFV mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan, namun selepas beberapa perubahan dan strategi baharu dilaksanakan, kita kini berjaya menjana keuntungan.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah memaksimumkan penggunaan tanah, memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberikan mandat kepada PKPS untuk menjadikan SFV sebagai antara hab utama pelaksanaan program sekuriti makanan Selangor.

Katanya, lokasi itu menempatkan pelbagai komponen rantaian bekalan makanan termasuk Agriculture Centre of Excellence (ACE), pengeluaran tanaman, penternakan dan pembangunan sektor protein bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negeri.

“Kerajaan negeri turut mengamanahkan PKPS menyediakan stok makanan yang mencukupi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan seperti bencana atau gangguan rantaian bekalan bagi memastikan bekalan makanan rakyat Selangor terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata, selain pengeluaran hasil tanaman, PKPS turut memperkukuh sektor penternakan menerusi operasi ladang ayam yang mampu mengeluarkan kira-kira 750,000 ekor ayam bagi setiap pusingan atau sekitar dua bulan.

Menurutnya, PKPS juga mempunyai projek penternakan lembu di Jelutong, Kuala Selangor yang sedang diperkasakan bagi meningkatkan pengeluaran sumber protein tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung pada tahun lalu, manakala setakat Januari hingga pertengahan Julai tahun ini seramai 52,000 pengunjung direkodkan.

Mohamad Khairil yakin sasaran 150,000 pengunjung mampu dicapai menjelang akhir tahun berdasarkan prestasi semasa serta peningkatan minat masyarakat terhadap sektor agropelancongan dan pendidikan pertanian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!