‘Rafizi gagal sebagai menteri, parti baharu pula hilang deposit’ - Exco AMK

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli terus dikritik selepas didakwa menjadi antara faktor penyusutan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias mendakwa, imej Rafizi sebagai ‘menteri gagal’ terus menjejaskan kedudukannya apabila semua calon Parti Bersama yang dipimpinnya hilang deposit pada PRN tersebut.
Menurutnya, kegagalan itu membuktikan perjuangan politik Rafizi tidak mendapat sokongan rakyat.
“Ketika menjadi menteri, beliau tidak melakukan apa-apa seperti yang dijanjikan sebelum PRU15 sehingga melekat label menteri gagal. Selepas keluar daripada PKR dan menubuhkan Parti Bersama pula, usaha itu sekali lagi gagal apabila semua calon parti tersebut hilang deposit.
“Mungkin sekarang baru Rafizi boleh faham bahawa bukan semua yang beliau lakukan itu betul dan bukan semua yang dilakukan orang lain itu salah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor turut dipengaruhi tindakan Parti Bersama yang dikatakan memecahkan undi PH demi membalas dendam terhadap PKR.
Pemimpin DAP, Tony Pua sebelum ini turut dilaporkan berkata, antara kerusi PH yang didakwa terkesan susulan penyertaan Parti Bersama ialah Perling, Stulang dan Bukit Batu.
Mengulas lanjut, Amira berkata, perjuangan politik yang tidak mempunyai matlamat jelas dan hanya didorong oleh rasa dendam tidak akan membawa parti itu ke mana-mana.
Beliau turut menasihatkan golongan muda yang bercadang bertanding atas tiket Parti Bersama pada Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum akan datang supaya mempertimbangkan keputusan itu dengan sebaik-baiknya.
“Jadi, bagi mereka terutama anak muda yang ingin bertanding atas tiket Bersama pada PRN atau PRU akan datang, saya nasihatkan agar memikirkan sebaik-baiknya kerana ia melibatkan masa depan yang lebih besar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

