Pelajar buat laporan polis palsu diculik gara-gara malu tersilap masuk tandas perempuan

ALOR SETAR - Polis menafikan berlaku kes culik yang tular sebelum ini membabitkan pelajar sekolah di Kuala Nerang sebaliknya mengesahkan menerima laporan palsu berhubung kejadian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Polis Daerah Padang Terap mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilarikan dua lelaki tidak dikenali, Ahad lalu.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati laporan polis dibuat mangsa adalah palsu kerana rasa malu dan tertekan disebabkan tersilap masuk tandas perempuan di sekolahnya sebelum kejadian.
"Pelajar ini beritahu, selepas tamat sesi persekolahan telah tersilap memasuki tandas perempuan di kawasan surau.
"Ketika hendak keluar, terserempak seorang pelajar perempuan yang berada dalam tandas.
"Mangsa kemudiannya terus melarikan diri kerana panik setelah diekori beberapa pelajar perempuan yang mempersoalkan tindakannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini pada Selasa.

Disebabkan itu, mangsa dikatakan terus keluar dari kawasan sekolah namun masih diekori beberapa pelajar perempuan sambil menjerit-jerit ke arahnya.
"Dia dalam keadaan buntu dan tertekan, dia telah menahan sebuah motosikal dan ditumpangkan ke kawasan Ladang Sungai Seraya.
"Pelajar ini kemudian menunjukkan satu rumah yang kononnya itu adalah rumahnya dan turun di situ namun tuan rumah mengesyaki sesuatu mencurigakan.
"Berikutan itu, tuan rumah menghubungi polis kira-kira jam 7 petang Ahad dan mangsa kemudian membuat laporan polis kononnya diculik.
"Jadi dalam kes ini sebenarnya pelajar ini selamat dan tiada kejadian culik dan saya gesa masyarakat supaya jangan mudah sebar maklumat tak betul yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat, " katanya.
Menurut Adzli, berdasarkan keterangan awal mangsa, pada jam lebih kurang 5.50 petang, ketika berada di hentian bas, di tepi jalan berdekatan Balai Bomba Kuala Nerang, mangsa didatangi dua suspek yang bertindak menutup mata dan mulut mangsa serta menolak masuk ke dalam sebuah kenderaan.
Mangsa juga didakwa diikat kedua-dua belah tangan dan kakinya sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
Adzli berkata, dalam soal siasat yang dijalankan, pelajar ini mendakwa pernah menjadi mangsa buli di tempat lamanya di Alor Setar sebelum berpindah ke sekolah baharu di Kuala Nerang.
Katanya, hasil semakan, mangsa pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu selepas seminggu bersekolah di Kuala Nerang.
"Dia mendakwa dipaksa mengambil makanan untuk 'senior' dan tangkapan dilakukan terhadap empat pelajar masing-masing Tingkatan Empat dan Lima di sekolah menengah di Alor Setar, semalam untuk siasatan.
"Kesemua pelajar yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan, " katanya.
Menurut Adzli, pihaknya turut mengambil keterangan penunggang motosikal yang menumpangkan mangsa dan pemilik rumah untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

