Sabah FC rombak pasukan hadapi musim baharu Liga Super

Sabah FC melakukan rombakan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2026/2027 dengan hanya mengekalkan 13 pemain daripada skuad musim lepas.
Sabah FC melakukan rombakan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2026/2027 dengan hanya mengekalkan 13 pemain daripada skuad musim lepas.
A
A
A

SABAH FC melakukan rombakan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2026/2027 dengan hanya mengekalkan 13 pemain daripada skuad musim lepas.

Kelab bola sepak itu dalam satu kenyataanpada Isnin memaklumkan sebanyak 14 pemain termasuk beberapa tonggak tempatan dan import dilepaskan, dengan keputusan tersebut diambil selepas melalui proses penilaian menyeluruh serta perancangan strategik pihak pengurusan skuad The Rhinos.

Antara nama besar yang sah meninggalkan kelab itu ialah penyerang muda negara, Fergus Tierney yang sebelum ini dilaporkan bakal menyarung jersi kelab Omonia 29th May di Cyprus, pemain tengah berpengalaman Gary Steven Robbat serta penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain import yang dilepaskan pula ialah Gabriel Peres, Ernesto Phumipha, Chris Ondong Mba, Belfort Kervensfils dan Dean Pelekanos.

Enam pemain lain yang sah tidak akan menyarung jersi Sabah FC musim ini ialah Kumaahran Sathasivam, Shahrol Nizam, Ritchie Svenson, Maxsius Musa, Amir Jef Anjam dan Jafri Chew.

"Sabah FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain terbabit atas komitmen, dedikasi dan segala sumbangan mereka sepanjang bersama The Rhinos, serta mendoakan kejayaan dalam karier mereka," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, 13 pemain yang disahkan kekal untuk cabaran musim baharu termasuk pertahanan Harimau Malaya Dominic Tan dan kapten pasukan Darren Lok serta Rawilson Batuil.

Turut dikekalkan, tonggak import Dane Ingham dan Miguel Cifuentes yang lebih mesra dipanggil Cifu dalam kalangan peminat.

Pemain lain yang disenaraikan Sabah FC bagi cabaran musim ini ialah Damien Lim, Ramzi Mustakim, Dinesh Rajasingam, Harith Naem, Farhan Roslan, Fakrul Iman, Rusdi Roslan, dan Rozacklye Yanam.

Artikel Berkaitan:

Bagi status semasa pemain lain, pengurusan Sabah FC memaklumkan perbincangan masih dijalankan bersama pemain import Jose Angel dan Duje Ljubic, manakala Azhad Harraz tidak disenaraikan buat masa ini berikutan masalah kecederaan.

Sabah FC menamatkan saingan Liga Super pada musim lepas di tangga kesembilan setelah meraih 23 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!