PRN Melaka: Ab Rauf mahu rakyat tolak fitnah, nilai hasil kerja kerajaan

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap rakyat negeri ini menilai prestasi serta hasil kerja kerajaan dan bukannya terpengaruh dengan fitnah, hasutan serta politik kebencian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, keputusan PRN Johor yang menyaksikan kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa pengundi kini semakin matang dalam membuat pilihan dan tidak lagi mudah dipengaruhi oleh sentimen negatif.
“Saya mengharapkan pentas politik demokrasi di Melaka ini turut melihat hasil kerja kita, bukan berdasarkan fitnah, hasutan dan kebencian yang tidak memberikan pulangan baik kepada keharmonian rakyat Melaka.
“Saya yakin rakyat Melaka telah berada pada tahap yang membolehkan mereka menilai hasil kerja kerajaan sedia ada yang memberikan pulangan baik kepada sektor ekonomi, pelancongan, pelaburan serta keharmonian rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada kemenangan BN di Johor memberikan keyakinan kepada Melaka untuk mendapatkan mandat baharu lebih awal.
Menurut Ab Rauf, keputusan PRN Johor di luar jangkaan banyak pihak kerana sebelum ini setiap parti politik yakin mampu menawan negeri berkenaan.
“Namun, keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya kerana pentas demokrasi yang ditunjukkan oleh rakyat Johor telah beralih kepada kematangan politik yang jauh daripada politik kebencian. Politik hasutan tidak lagi diterima oleh rakyat Johor.
“Kita sama-sama berdoa supaya kelestarian masyarakat ini dapat diteruskan dan saya berharap rakyat Melaka dapat menilai sebagaimana rakyat Johor menilai prestasi kerajaan mereka,” katanya.
Mengulas kemungkinan Melaka mengikut jejak Johor dengan mengadakan PRN lebih awal, Ab Rauf enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata, beliau akan menjawab apabila tiba masanya.
Beliau turut mengunci mulut mengenai dakwaan bahawa terdapat parti politik yang sudah mengadakan perbincangan bagi menjalin kerjasama menjelang PRN.
“Saya lebih suka menjawab bahawa saya akan menuai buah apabila ia masak,” ujarnya.
Mengulas politik kebencian yang dimainkan menerusi media sosial, Ab Rauf berkata, rakyat kini lebih bijak menilai sesuatu isu berdasarkan prestasi sebenar kerajaan.
“Barang siapa datang membawa fitnah, hasutan dan kebencian, mereka tidak laku kerana rakyat tahu hasil yang telah diberikan oleh kerajaan.
“Selama saya memimpin, saya tidak pernah mengamalkan politik kebencian terhadap rakyat Melaka atau mereka yang tidak sehaluan dengan kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

