Lebih 60 peratus pesakit Covid-19 di NS sembuh

Aminuddin (kiri) melihat barangan yang disumbangkan 99 Speedmart Sdn Bhd untuk diserahkan kepada Hospital Tuanku Jaafar.
Aminuddin (kiri) melihat barangan yang disumbangkan 99 Speedmart Sdn Bhd untuk diserahkan kepada Hospital Tuanku Jaafar.
A
A
A

SEREMBAN - Lebih 60 peratus bilangan pesakit yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) di Negeri Sembilan sembuh setakat ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bilangan itu menunjukkan satu peningkatan positif hasil usaha pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan keselamatan dalam membendung penularan jangkitan tersebut.

"Bagaimanapun, angka kematian di negeri ini akibat Covid-19 terus meningkat kepada tujuh orang. Semalam, lebih 60 peratus iaitu 62.89 peratus bilangan pesakit dijangkiti sudah sembuh tetapi bilangan kematian juga bertambah.

"Ini adalah perkara positif dan ada juga negatif (peningkatan kematian)," katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyempurnakan penyampaian sumbangan daripada syarikat korporat 99 Speedmart Sdn Bhd di kediaman rasminya di sini hari ini.

Sumbangan barangan sut pelindungan, sarung tangan, topeng muka, cecair pembasmi kuman, disposable PE apron dan makanan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut disampaikan wakil syarikat itu kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada Hospital Tuanku Jaafar.

Aminuddin (dua dari kiri) ketika selepas selesai penyerahan sumbangan.
Aminuddin (dua dari kiri) ketika selepas selesai penyerahan sumbangan.

Terdahulu, menerusi rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang turut dikongsikan di laman Facebook Aminuddin, sehingga jam 5 petang semalam, sebanyak sembilan kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan menjadikan keseluruhan jumlah kes Covid-19 sebanyak 318 kes.

Terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Negeri Sembilan sebanyak tujuh kes manakala 200 pesakit dibenarkan pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aminuddin meminta rakyat di Negeri Sembilan terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan hasil pemerhatiannya bilangan kenderaan yang keluar semakin bertambah.

"Jangan sia-siakan usaha kerajaan terutamnya KKM memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini. Jika rakyat gagal memberikan kerjasama, tempoh PKP ini akan menjadi lebih panjang," katanya.

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun