Gagal samun, lelaki gigit tuan rumah sebelum dicekup

Tangkap layar dari video tular, di mana suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tangkap layar dari video tular, di mana suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang dipercayai cuba menyamun sebuah rumah di Taman Delima di sini diberkas penduduk selepas bergelut dengan mangsa dalam kejadian pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang sedang tidur bagaimanapun terjaga selepas menyedari berlaku sesuatu yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pengadu terjaga sebelum ternampak kelibat seseorang berada di dalam rumahnya.

"Pengadu mendapati suspek sedang menggeledah bahagian dapur sebelum cuba menangkapnya sehingga berlaku pergelutan selama kira-kira 15 minit yang turut disaksikan oleh kakak pengadu.

"Semasa cuba melarikan diri, suspek menggigit lengan kanan pengadu. Pengadu mengalami luka kecil pada jari tangan kiri dan jari kaki kiri akibat terjatuh ketika mengejar suspek," katanya.

Menurut beliau, suspek berjaya ditangkap oleh jiran berhampiran sebelum diserahkan kepada pengadu yang kemudian menghubungi pihak polis.

Setakat ini, tiada kehilangan harta benda dilaporkan.

Hanyan berkata, pengadu memaklumkan suspek memasuki rumah melalui tingkap yang terbuka.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 27 tahun dari Kuala Ketil itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!