X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan berubah, MPKK pun berubah

Ahmad Faizal menerima sumbangan RM111,000 daripada Persatuan Pelabur-Pelabur Taipei di Perak dan RM50,000 daripada Ladang Moccis Sdn Bhd bagi Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak.
A
A

IPOH - Penamatan khidmat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tidak wajar dijadikan isu politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana ia merupakan satu proses biasa bagi mana-mana kerajaan negeri yang berdepan peralihan kuasa pentadbiran.

"Apabila berlaku peralihan kuasa, semua yang memegang jawatan lantikan politik termasuklah pengerusi dan ahli jawatankuasa MPKK seharusnya meletakkan jawatan tanpa perlu kita (kerajaan negeri) lepaskan, itu dari segi struktur pentadbiran kerajaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan, perkhidmatan MPKK di Perak ditamatkan berkuat kuasa pada 30 April ini dan pelantikan ketua kampung yang baharu dijangka dilaksanakan pada Jun depan.

Penamatan itu menerima kritikan sesetengah pihak termasuk wakil rakyat pembangkang sebagai tidak kena masa terutama ketika rakyat berdepan situasi wabak koronavirus (Covid-19) yang memerlukan khidmat MPKK sebagai rujukan penduduk kampung.

Ahmad Faizal berkata, mana-mana MPKK yang tamat perkhidmatan sewajarnya terus membantu kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat bantuan.

"Pendirian kerajaan Perikatan Nasional, tak kiralah dia itu datang dari parti pembangkang atau kerajaan, jika salurkan maklumat ada kalangan rakyat perlukan bantuan, kita akan salurkan bantuan itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menerima sumbangan RM111,000 daripada Persatuan Pelabur-Pelabur Taipei di Perak dan RM50,000 daripada Ladang Moccis Sdn Bhd bagi Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak.

Sumbangan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diperolehi kerajaan negeri bagi memerangi wabak Covid-19 dan membantu golongan sasar adalah RM12.43 juta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!