Aktivis buruh British didakwa ugut wartawan, tunjuk lagak dan perkauman

Andy Hall
Andy Hall
A
A
A

DHAKA – Aktivis hak pekerja Britain, Andy Hall didakwa mengugut beberapa wartawan Bangladesh serta menggunakan bahasa berunsur perkauman dan menghina selepas beberapa organisasi media menerbitkan laporan mengenai lawatan terbarunya ke Dhaka dan pertemuannya dengan pegawai kerajaan.

Kontroversi itu tercetus ketika Bangladesh dan Malaysia sedang meneruskan usaha untuk membuka semula pasaran buruh Malaysia kepada pekerja Bangladesh susulan lawatan terbaharu Perdana Menteri Bangladesh ke Kuala Lumpur.

Menurut sumber kementerian, sepanjang berada di Bangladesh, Hall telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara, Pembantu Khas Perdana Menteri, wakil agensi pengambilan pekerja Bangladesh serta pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pegawai mendakwa bahawa Hall telah menggesa kerajaan Bangladesh supaya menilai semula beberapa aspek berkaitan pembukaan semula pasaran buruh, termasuk perkara yang melibatkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing atau Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).

Sumber mendakwa bahawa cadangan tersebut telah ditolak oleh pihak kementerian, menyebabkan perbincangan menjadi tegang. Bagaimanapun, kementerian dilaporkan tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyokong pembukaan semula pasaran buruh berkenaan.

Selepas laporan mengenai lawatannya diterbitkan, Hall didakwa menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada wartawan dan pihak pengurusan media dengan memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil.

Dalam satu mesej yang dilihat oleh akhbar tersebut, Hall didakwa menulis kenyataan berunsur perkauman:

“Anda tidak sepatutnya mencari masalah dengan saya. Saya rakyat Britain dan saya berkulit putih. Anda boleh cuba (kata kesat) dengan rakyat Bangladesh sendiri, tetapi jangan (kata kesat) dengan saya.”

Beliau turut menuduh penerbitan berkenaan melakukan fitnah dan mendakwa bahawa peguamnya sedang membuat persediaan untuk memulakan prosiding undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Hall mempertahankan tujuan lawatannya menerusi satu kenyataan dengan menjelaskan bahawa beliau berkunjung ke Bangladesh bagi menyokong pembaharuan berkaitan migrasi dan hak pekerja.

“Saya memperjuangkan pasaran buruh yang terbuka kepada semua,” katanya sambil menyifatkan pertemuannya bersama pegawai kerajaan pada 5 Julai sebagai “tidak produktif”.

Pegawai kementerian turut mendakwa bahawa lawatan Hall telah diatur oleh bekas Setiausaha Bersama Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) serta beberapa pihak lain yang didakwa cuba mempengaruhi pendekatan kerajaan terhadap pasaran buruh Malaysia.

Beberapa tokoh perniagaan yang mengetahui perkara tersebut turut mendakwa bahawa Hall telah bertemu dengan wakil agensi pengambilan pekerja dan aktivis migrasi sepanjang lawatannya. Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.

Segelintir ahli perniagaan turut mendakwa bahawa Hall sebelum ini menyokong beberapa dasar yang berpotensi mengehadkan akses Bangladesh ke pasaran buruh Malaysia, tetapi pada masa sama memberi manfaat kepada negara pengeksport tenaga kerja yang lain.

Hall sebelum ini telah menafikan secara terbuka sebarang salah laku.

Sementara itu, pegawai perisikan kerajaan yang bercakap dengan syarat identiti mereka dirahsiakan mendakwa bahawa Hall memasuki Bangladesh menggunakan visa pelancong.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengumumkan sebarang siasatan rasmi berhubung lawatan tersebut atau dakwaan yang dikaitkan dengannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!