[TIDAK RASMI] PRN Johor: Alwiyah mendahului di 'hot seat' Endau

SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN-UMNO), Alwiyah Talib mendahului di kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat kemas kini jam 7.27 petang Sabtu.
Berdasarkan siaran langsung Sinar Harian di Pusat Gerakan BN, Alwiyah yang merupakan penyandang kerusi DUN Endau memperoleh 3,771 undi dengan majoriti 1,379 undi.
Beliau pada PRN Johor 2022 ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, namun mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan memperoleh majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.
Alwiyah yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing mengumumkan keluar daripada parti tersebut untuk kembali menyertai UMNO pada 4 Jun lalu.
Sementara itu, keputusan tidak rasmi tersebut menyaksikan calon daripada PN iaitu Hasnul Hakimi Hussien memperoleh 2,392 undi, manakala Saiful Nizam Samat (Pakatan Harapan) 809 undi dan Jati Awang mewakili Parti Orang Asli Malaysia (Asli) sebanyak 275 undi.
Setakat ini, sebanyak 28 dari 60 jumlah saluran dikira.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
