Pertama kali mengundi pada usia 75 tahun, Supaid hiba

PASIR GUDANG – Penantian hampir 20 tahun berakhir buat seorang warga emas apabila impiannya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Malaysia menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu.
Supaid Karmat, 75, berkata, pengalaman kali pertama memangkah kertas undi merupakan detik paling bermakna dalam hidupnya selepas memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada tahun 2024.
Bekas warga Singapura itu mengakui perasaan teruja dan hiba bercampur baur sebaik sahaja jarinya dicelup dengan dakwat kekal sebagai tanda rasmi penyertaannya dalam proses demokrasi negara.
“Selama puluhan tahun, tugas saya hanyalah menjadi pemandu yang menghantar isteri dan anak-anak ke pusat mengundi.
“Setiap kali melihat mereka masuk untuk mengundi, saya sentiasa berdoa agar suatu hari nanti tiba pula giliran saya.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat merasai sendiri pengalaman mengundi. Selepas hampir 20 tahun menunggu kelulusan kewarganegaraan, akhirnya saya dapat berdiri di dalam bilik mengundi sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini pada Sabtu.
Menurut Supaid, sebelum ini hanya dirinya belum memiliki taraf kewarganegaraan Malaysia, manakala isteri serta enam anaknya yang dilahirkan di negara ini merupakan warganegara Malaysia.
Katanya, peluang mengundi buat kali pertama itu akan menjadi kenangan yang terpahat sepanjang hayat.
“Saya sangat sayangkan Malaysia. Negara ini aman, makmur dan rakyatnya hidup dalam suasana harmoni.
“Harapan saya sebagai orang tua, semoga keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus berkekalan serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
