PH dakwa ejen tempat mengundi diarah keluar

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa berlaku kekeliruan berhubung pelaksanaan tugas ejen tempat mengundi (polling agent) di sebuah pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu.
Pengarah Hal-Ehwal Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa petugas polling agent PH di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Abong diarahkan keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).
Katanya, arahan itu dibuat atas alasan kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hanya seseorang 'polling agent' dibenarkan bertugas selama dua jam.
"Saya dimaklumkan beberapa tempat pusat pengundian terutama di DUN yang berpotensi dimenangi oleh PH telah cuba dibuat tindakan yang tidak sewajarnya oleh pihak KTM.
"Saya telah dimaklumkan di DUN Simpang Jeram iaitu di SK Sungai Abong, petugas polling agent PH diarahkan untuk keluar kerana kononnya terdapat arahan SPR bahawa seorang polling agent hanya boleh bertugas selama dua jam sahaja.
"Ini jelas bertentangan dengan Perenggan 2.4 dan Perenggan 4 Buku Panduan SPR, yang jelas menyatakan tempoh minimum seorang Polling Agent adalah 2 jam dan bukannya tempoh maximum," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Fadhli Umar berkata, pihaknya menyeru semua pihak yang terlibat dalam proses pengundian agar bertindak secara profesional serta mematuhi undang-undang.
"Satu laporan polis serta bantahan mengikut Perenggan 5 Buku Panduan SPR akan dibuat sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
