BN kekal atau PH tawan Johor?

JOHOR BAHRU – Selepas 14 hari gelanggang politik Johor dipenuhi ceramah, manifesto, pertemuan dengan pengundi dan pelbagai tawaran dasar, hari ini segala-galanya diserahkan kepada rakyat.
Seramai 2.7 juta pemilih bakal menentukan parti yang layak diberikan mandat mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bermula jam 8 pagi ini, pengundi di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang bukan sahaja menentukan komposisi kerajaan negeri, malah bakal mencorakkan landskap politik negeri itu bagi penggal seterusnya.
Selepas tempoh rasmi berkempen bermula 27 Jun lalu berakhir tepat jam 11.59 malam, Jumaat, tiada lagi pentas ceramah, rayuan terakhir atau pelancaran manifesto. Sebaliknya, segala janji, komitmen dan rekod dipersembahkan sepanjang dua minggu lalu akan diterjemahkan menerusi kertas undi.
Sepanjang tempoh berkempen, setiap parti memanfaatkan pelbagai pendekatan untuk mendekati pengundi termasuk ceramah, program bersama masyarakat, ziarah dari rumah ke rumah, dialog komuniti dan penggunaan media sosial.
Jika suatu ketika dahulu ceramah mega menjadi ukuran kekuatan sesebuah parti, kempen kali ini memperlihatkan video pendek, siaran langsung dan kan-dungan digital muncul sebagai medium penting bagi menarik sokongan pengundi, khususnya generasi muda.
Walaupun pendekatan kempen berbeza mengikut parti, isu diketengahkan hampir sama, antaranya kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pembangunan ekonomi, kemudahan awam, bekalan air dan kesejahteraan rakyat.
Barisan Nasional (BN) tampil dengan 63 Tekad berasaskan enam teras utama merangkumi tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas, keselamatan, kebersihan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan golongan muda. Antara fokusnya ialah menangani kos sara hidup, memperluaskan peluang pekerjaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Pakatan Harapan (PH) pula menawarkan agenda pembangunan yang memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan, rumah mampu milik, peningkatan kemahiran tenaga kerja, pendidi-kan, kesihatan, keusahawanan dan usaha menjadikan Johor sebagai hab ekonomi yang memanfaatkan lokasinya bersempadan Singapura.
Perikatan Nasional (PN) mengetengahkan naratif integriti pentadbiran, kebajikan rakyat dan pengukuhan ekonomi negeri, manakala Pas yang bertanding di bawah gabungan itu memilih mengemukakan aku janji calon mengikut keperluan setempat.
Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula meneruskan pendekatan yang lebih dekat dengan kelompok belia melalui tawaran berkaitan peluang pekerjaan berkualiti, pemilikan rumah, pengangkutan awam, tadbir urus telus dan penyertaan belia dalam proses membuat keputusan.
Polemik warnai kempen
Selain manifesto, kempen turut diwarnai pelbagai polemik termasuk kenyataan mengenai hubungan politik antara parti, isu melibatkan DAP, naratif ‘Bangsa Johor’ dan kontroversi membabitkan kenyataan seorang calon mengenai penternakan babi.
Namun, isu paling konsisten dibangkitkan pengundi tetap berkisar kepada cabaran kehidupan harian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, harga rumah, kesesakan di pintu sempadan Johor-Singapura dan usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.
Bagi pemerhati politik, kempen kali ini bukan sekadar menyaksikan pertandingan antara calon tetapi turut menjadi medan menguji sejauh mana parti-parti politik berjaya meyakinkan rakyat bahawa tawaran dikemukakan mampu diterjemahkan kepada dasar dan tindakan sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.
Setiap gabungan membawa naratif tersendiri dalam usaha meraih kepercayaan rakyat. BN menekankan rekod pentadbiran dan kesinambungan pembangunan negeri, PH mengetengahkan agenda perubahan menerusi pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat, PN menawarkan pen-dekatan berasaskan integriti dan tadbir urus, manakala MUDA terus memfokuskan kepada pemerka-saan generasi muda.
Beberapa kerusi turut menjadi perhatian kerana mempertemukan tokoh berpengalaman, penyandang, bekas wakil rakyat dan muka baharu yang berpotensi mencorakkan kepimpinan Johor pada masa depan.
Pada masa sama, kadar keluar mengundi dijangka menjadi antara faktor penting mempengaruhi keputusan keseluruhan pilihan raya.
Kini selepas tamatnya tempoh berkempen, segala tumpuan beralih kepada rakyat Johor untuk menentukan sama ada kerajaan sedia ada wajar diberikan mandat baharu bagi meneruskan pentadbiran atau negeri itu memerlukan pendekatan berbeza di bawah gabungan lain.
Apa juga keputusan diumumkan nanti, ia merupakan cerminan kehendak rakyat yang perlu dihormati semua pihak.
Janji berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan, kemudahan kesihatan, bekalan air, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi akhirnya akan diukur melalui pelaksanaannya, bukannya sekadar manifesto.
Bagi parti yang tidak berjaya membentuk kerajaan, peranan sebagai pembangkang yang konstruktif tetap penting untuk memastikan semak dan imbang terus berjalan demi kepentingan negeri serta rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

