Felda 70 tahun: Tanah sudah dimiliki, generasi jangan terputus

Cabaran sebenar untuk 50 tahun akan datang ialah bagaimana Felda menyusun hala tuju yang mampu menghubungkan semula peneroka, ladang, komuniti dan generasi. Gambar kecil: Rauzan Esa
Cabaran sebenar untuk 50 tahun akan datang ialah bagaimana Felda menyusun hala tuju yang mampu menghubungkan semula peneroka, ladang, komuniti dan generasi. Gambar kecil: Rauzan Esa
A
A
A

APABILA peneroka Felda telah membayar penuh kos pembangunan ladang dan penempatan melalui Bayaran Kembali yang dipotong daripada hasil tanah 10 ekar yang mereka kerjakan, peneroka layak menerima hakmilik tanah yang dijanjikan sewaktu ditawarkan masuk ke rancangan Felda.

Sehingga hari ini lebih 90 peratus peneroka telah menerima hakmilik yang mana negeri Johor adalah negeri tertinggi dengan pemberian hakmilik mencapai 99.9 peratus.

Ini membuktikan bahawa model pembangunan dan objektif penubuhan Felda melalui slogan “Land for the

Landless, Job for the Jobless” bukan sekadar slogan politik, tetapi satu sasaran pembangunan yang jelas, boleh diukur dan telah menghasilkan kesan besar kepada negara.

Melalui tanah yang dikerjakan, peneroka berjaya membina keluarga, memiliki tanah, membentuk komuniti dan mewujudkan kitaran ekonomi bernilai berpuluh bilion ringgit setahun melalui industri komoditi, khususnya kelapa sawit.

Dengan berjayanya peneroka memiliki tanah, maka berjayalah Felda dan Kerajaan membina model sosioekonomi yang direncanakan sejak awal penubuhannya.

Selepas 70 tahun Felda diwujudkan, cabarannya sudah berubah.

Jika dahulu cabarannya ialah membuka tanah, menempatkan peneroka dan membina kehidupan baharu, kini cabarannya ialah memastikan tanah yang telah dimiliki itu terus produktif, dan generasi Felda terus mempunyai hubungan dengan ladang dan tanah rancangan.

Tidak dapat dinafikan bahawa fokus semasa Felda banyak tertumpu kepada pemulihan aliran tunai, penstrukturan kewangan dan pengukuhan semula kedudukan institusi.

Artikel Berkaitan:

Langkah ini penting kerana tanpa kedudukan kewangan yang stabil, sukar untuk Felda melaksanakan tanggungjawabnya kepada peneroka dan warga Felda secara menyeluruh.

Namun, pemulihan aliran tunai tidak boleh menjadi matlamat akhir. Ia hanya memberi ruang bernafas kepada Felda.

Cabaran sebenar untuk 50 tahun akan datang ialah bagaimana Felda menyusun hala tuju yang mampu menghubungkan semula peneroka, ladang, komuniti dan generasi.

Perubahan besar dalam Felda mula dirasai apabila pengurusan ladang, khususnya selepas fasa tanam semula, model pengurusan ladang peneroka diubah dengan Felda menguruskan keseluruhan operasi ladang.

Pendekatan ini mungkin membantu sebahagian peneroka yang semakin berusia atau tidak mampu mengurus ladang sendiri.

Namun dalam jangka panjang, ia turut mengubah watak peneroka atau pewaris daripada pengusaha tanah kepada penerima hasil semata-mata.

Generasi pula semakin jauh daripada ladang, mereka mewarisi tanah, tetapi tidak mewarisi pengetahuan, disiplin dan hubungan kerja dengan tanah tersebut.

Apabila hubungan manusia, tanah dan kerja ini semakin terputus, roh asal Felda sebagai program pembangunan insan dan sosioekonomi turut menjadi semakin lemah.

Oleh itu, hala tuju Felda selepas 70 tahun perlu bertumpu kepada dua perkara besar iaitu pengurusan dan kewangan ladang peneroka, serta pengurusan komuniti dan generasi Felda.

Kedua-duanya saling berkait kerana ladang ialah asas ekonomi Felda, manakala komuniti ialah asas sosial yang mengikat peneroka, waris dan generasi.

Pengurusan dan Kewangan Ladang Peneroka

Pada peringkat awal, kekuatan Felda terletak pada hubungan langsung antara peneroka dengan ladang.

Peneroka bukan sekadar menerima tanah, tetapi mengerjakannya, memahami hasilnya dan membina kehidupan daripada tanah tersebut.

Di situlah lahir disiplin, rasa memiliki dan kejayaan sebenar pembangunan insan oleh Felda.

Mereka mestimemahami kedudukan ladang sebagai satu unit ekonomi yang mempunyai hasil, kos, hutang, produktiviti dan pendapatan bersih.

Pengurusan kewangan ladang peneroka mesti mempunyai kaedah yang jelas dan diasingkan daripada pengurusan kewangan Felda.

Selama ini, bayaran hasil ladang peneroka disatukan dengan akaun pengurusan kewangan Felda telah menimbulkan banyak masalah seperti pembayaran hasil lewat dan tunggakkan bayaran kepada kontraktor ladang.

Ini kerana semua sedia maklum bahawa Felda mengalami masalah aliran tunai yang tenat sehingga terpaksa menggunakan wang hasil ladang peneroka untuk operasi Felda itu sendiri.

Dengan pelbagai tindakan pemulihan aliran tunai Felda seperti pengambilalihan semula FGV dan bantuan sukuk dari kerajaan sebelum ini, pengasingan akaun kewangan ladang peneroka dan akaun kewangan pengurusan Felda mesti dapat dilaksanakan agar punca ekonomi komuniti Felda ini dapat beroperasi dengan licin dan produktif.

Bagi operasi ladang peneroka pula, Felda atau anak syarikat yang menguruskannya hendaklah menawarkan kos operasi ladang pada satu kadar tetap bagi setiap tan hasil.

Kaedah “satu kos” ini penting bagi mengelakkan kekeliruan apabila kos operasi berubah-ubah setiap bulan walaupun skop kerja pada asasnya sama.

Dengan kadar tetap ini juga, tuntutan anak syarikat kepada Felda lebih mudah disemak dan dibayar, sekali gus mengurangkan risiko tunggakan yang boleh mengganggu operasi ladang.

Selain itu, pilihan pengurusan ladang perlu lebih adil dan sesuai dengan keadaan semasa.

Ada peneroka atau waris yang masih mahu dan mampu mengurus sendiri.

Ada peneroka yang memerlukan bantuan penuh Felda. Ada juga generasi yang berminat untuk terlibat dalam pengurusan moden melalui koperasi, mekanisasi, logistik, data ladang atau perkhidmatan sokongan.

Semua pilihan ini perlu diberi ruang dalam satu kerangka yang jelas, bukan dilihat secara sempit sebagai menyokong atau menolak Felda. Kemampuan peneroka berdikari tidak sepatutnya dianggap sebagai keluar daripada semangat Felda.

Sebaliknya, itulah tanda kejayaan asal pembangunan insan Felda. Jika peneroka mampu mengurus tanahnya dengan baik, menjana hasil dan mengekalkan produktiviti, maka ia membuktikan bahawa Felda telah berjaya membentuk peneroka sebagai pemilik tanah yan bertanggungjawab.

Pengurusan Komuniti dan Generasi Felda

Felda bukan agensi perladangan biasa. Felda ialah komuniti. Rancangan Felda bukan sekadar kawasan tanaman, tetapi tempat peneroka membina keluarga, institusi sosial, pendidikan, masjid, koperasi dan kehidupan bermasyarakat.

Cabaran hari ini ialah komuniti Felda semakin berubah. Ramai generasi telah berhijrah ke bandar untuk bekerja, berniaga atau membina kehidupan baharu.

Sebahagian rancangan pula semakin dihuni warga emas. Rumah peneroka ada yang kosong, isu pusaka belum selesai, dan hubungan generasi dengan Felda semakin terhad kepada urusan tertentu sahaja.

Dengan bilangan peneroka asal yang semakin berkurang dan majoritinya telah lanjut usia, satu ketetapan baharu perlu dirangka supaya peneroka ganti atau pewaris mempunyai tanggungjawab yang jelas sebagaimana peneroka asal.

Peneroka ganti atau pewaris perlu diwajibkan menetap di rancangan, atau sekurang-kurangnya mempunyai komitmen pengurusan dan tanggungjawab yang jelas, supaya komuniti Felda kekal dihuni, hidup dan berfungsi.

Struktur komuniti Felda yang dibina sekian lama sangat unik dan terbukti berjaya dalam membangunkan sosioekonomi negara.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keceriaan Rancangan (JKKR) mewakili segenap lapisan komuniti, manakala Jawatankuasa Pengurusan Ladang Lestari (JPLL) ialah model pengurusan ladang yang bergerak melalui semangat muafakat.

Kedua-Felda 70 tahun: Tanah sudah dimiliki, generasi jangan terputus. Kedua-duanya mesti diperkukuh dan diberi latihan teknikal berkaitan pengurusan ladang supaya punca ekonomi komuniti terus dioptimumkan.

Felda juga perlu memberi tumpuan serius kepada isu pewarisan. Ini antara isu besar yang akan menentukan masa depan tanah rancangan.

Jika pusaka tidak diselesaikan, pengurusan ladang menjadi rumit, keputusan keluarga tergantung dan hubungan generasi dengan tanah semakin lemah.

Hala tuju komuniti Felda selepas ini mesti melihat generasi bukan sekadar sebagai waris tanah, tetapi sebagai rakan pembangunan.

Mereka perlu diberi ruang untuk kembali terlibat dalam ekonomi ladang dan komuniti, sama ada secara fizikal di rancangan atau melalui hubungan digital, koperasi, perniagaan dan perkhidmatan sokongan.

Masa depan Felda tidak hanya bergantung kepada siapa yang masih tinggal di rancangan, tetapi juga kepada siapa yang masih mempunyai hubungan ekonomi, emosi dan tanggungjawab terhadap rancangan asal keluarga mereka.

Felda, Peneroka dan Generasi Mesti Terus Kekal

Peneroka sebenarnya memikul satu tanggungjawab besar dalam kerangka fardhu kifayah, iaitu memastikan bekalan minyak sawit yang menghasilkan pelbagai keperluan hidup manusia di dalam dan luar negara terus tersedia.

Selagi minyak sawit digunakan dalam makanan, tenaga, industri, farmaseutikal dan keperluan harian, selagi itulah Felda masih mempunyai peranan strategik kepada negara.

Namun Felda tidak boleh hanya dikenang sebagai kejayaan lampau. Felda mesti terus hidup sebagai institusi yang mampu menyesuaikan diri dengan zaman, teknologi dan kehendak industri komoditi.

Tanah telah diberi. Hak milik telah dicapai. Tugas selepas 70 tahun ialah memastikan tanah itu tidak terbiar, ladang tidak hilang produktiviti, komuniti tidak kosong, dan generasi Felda tidak terputus daripada akar sosioekonomi yang membesarkan keluarga mereka.

Slogan “Land for the Landless, Job for the Jobless” telah mencapai maksud asalnya. Kini Felda memerlukan tekad baharu, tanah yang telah dimiliki mesti terus diusahakan, peneroka mesti terus diperkasa, dan generasi Felda mesti kembali menjadi sebahagian daripada masa depan tanah rancangan.

Jika hubungan antara tanah, kerja, komuniti dan generasi dapat disambung semula, maka Felda bukan sahaja berjaya dalam 70 tahun pertamanya, tetapi masih relevan untuk 50 tahun akan datang.

*Penulis ialah Generasi Ke-2 dan Ke-3 Felda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!