Biodiesel: Indonesia sudah ‘potong’ Malaysia

Indonesia meluncurkan minyak biodiesel dikenali sebagai Biosolar B50 untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil.
Indonesia meluncurkan minyak biodiesel dikenali sebagai Biosolar B50 untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil.
A
A
A

SEMALAM Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto meluncurkan minyak biodiesel dikenali sebagai Biosolar B50 untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil.

Dengan bangga, Probowo mengatakan negara itu adalah yang pertama di dunia mewajibkan penggunaan bahan api itu dengan kandungan 50 peratus daripadanya ialah minyak sawit.

Menurut beliau, ia bukan sekadar pencapaian teknologi tetapi sebagai bukti Indonesia mampu untuk memanfaatkan kekayaan alam semulajadinya sendiri demi kepentingan rakyat Indonesia.

Sehubungan itu, syarikat-syarikat minyak diberikan sehingga 30 September 2026 untuk menghabiskan stok minyak biodiesel B40 sebelum beralih sepenuhnya kepada penggunaan B50.

Kerajaan juga akan memastikan persediaan dari segi teknikal, pengedaran dan peraturan serta ujian untuk memastikan penggunaan minyak itu sesuai untuk semua jentera yang menggunakan diesel.

Sementara itu, di Malaysia dalam satu jawapan bertulis di Parlimen kira-kira tiga minggu lalu, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan menilai dan mengkaji kesesuaian pelaksanaan biodiesel B50 berikutan wujud keperluan menaik taraf depoh pengadunan sedia ada secara menyeluruh yang dijangka melibatkan kos tinggi.

Pada masa ini, pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan penggunaan biodiesel adalah sehingga B30 dan ia telah dinyatakan dalam Dasar Agrikomoditi Negara.

Ia disokong dasar lain seperti Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Peralihan Tenaga Negara apabila Program Biodiesel Negara akan diperluaskan secara berfasa ke seluruh Malaysia kepada B30 menjelang 2030 bagi sektor pengangkutan darat.

Pada masa ini Malaysia akan mula menggunakan minyak biodiesel B15 bermula bulan ini yang tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian enjin kenderaan diesel.

Artikel Berkaitan:

Sementara minyak B20 sudah mula diperkenalkan di beberapa kawasan seperti Langkawi, Labuan dan Sarawak.

Langkah jangka panjang kerajaan adalah untuk menggunakan minyak B30 secara berperingkat sehingga tahun 2030.

Turut dilaporkan lori minyak Petronas dan Felda telah menggunakan minyak biodiesel B100 tetapi penggunaannya belum lagi meluas kepada pengguna.

Ini menyebabkan Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding Indonesia untuk melaksanakan minyak B50 secara meluas.

Pemain industri tolak biodiesel

Sementara itu, dalam pertemuan saya dengan pemain industri terbesar negara baru-baru ini mereka menolak usaha untuk melaksanakan biodiesel.

Jelas mereka beberapa tahun lalu memang kerajaan serius untuk memulakan penggunaan biodiesel secara besar-besaran namun langkah itu terhenti.

Ini kerana negara tidak bersedia sepenuhnya dan tiada keperluan kerana harga minyak diesel pada ketika itu lebih murah berbanding sekarang.

Pemain industri itu berkata, mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan produk minyak sawit yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Jelas mereka, jika kerajaan bersungguh-sungguh mahu menjayakan biodiesel semula, maka subsidi khas perlu diberikan kepada industri bagi membolehkan mereka membangunkan fasiliti.

Sementara itu, ketegangan di Asia Barat terus memuncak walaupun sebelum ini dilaporkan perjanjian damai akan ditandatangani antara Amerika Syarikat dengan Iran. Ini menyebabkan harga minyak melonjak semula.

Disebabkan itu ada beberapa pihak merasakan keupayaan negara sebagai pengeluar minyak sawit adalah satu game changer tetapi malangnya impian mereka mungkin tidak menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Kekalahan Malaysia di tangan Indonesia adalah sesuatu perkara yang amat memalukan dan harus dipertanggungjawabkan kepada kerajaan yang memerintah.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!