Prabowo dakwa banyak negara iri hati dengan Indonesia

Prabowo ketika menyampaikan ucapan semasa pelancaran Program Mandatori Biodiesel B50 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kilometer 57, Lebuh Raya Jakarta–Cikampek, Karawang, Jawa Barat. Foto: Tempo.
Prabowo ketika menyampaikan ucapan semasa pelancaran Program Mandatori Biodiesel B50 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kilometer 57, Lebuh Raya Jakarta–Cikampek, Karawang, Jawa Barat. Foto: Tempo.
A
A
A

KARAWANG – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa banyak negara berasa iri hati terhadap Indonesia di sebalik pencapaian ekonomi negara itu yang semakin mendapat perhatian dunia.

Beliau berkata, persaingan di peringkat global semakin sengit dan terdapat pihak yang tidak senang melihat kejayaan Indonesia.

“Banyak negara iri hati dengan kita, banyak negara benci kepada kita.

“Bangsa Indonesia tidak pernah membenci negara lain, tetapi ada pihak yang dengki dan mahu menjatuhkan serta memburukkan nama kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Mandatori Biodiesel B50 di Karawang, Jawa Barat pada Khamis, lapor Tempo.

Menurut Prabowo, sentimen negatif itu turut dapat dilihat di media sosial apabila timbul pelbagai naratif yang menggambarkan Indonesia berada dalam keadaan suram atau bakal berdepan kegagalan.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila naratif sedemikian turut disebarkan oleh segelintir rakyat Indonesia sendiri.

“Ada yang berharap negara ini gagal dan runtuh. Bayangkan, rakyat Indonesia sendiri mengharapkan negara mereka mengalami kegagalan,” katanya.

Pada masa sama, Prabowo berkata, masyarakat antarabangsa kini mula mengiktiraf kejayaan Indonesia dalam mengurus ekonomi negara.

“Saya sendiri terkejut apabila ramai pemimpin dunia bercakap mengenai Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mempersoalkan bagaimana Indonesia boleh berjaya, tidak panik dan tidak menaikkan harga bahan api demi melindungi rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam majlis sama, Prabowo melancarkan Program Mandatori Biodiesel B50 yang mewajibkan campuran 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 50 peratus diesel petroleum bagi bahan api diesel di Indonesia.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, pelaksanaan B50 dijangka menamatkan kebergantungan negara itu terhadap import diesel.

Menurutnya, Indonesia menggunakan kira-kira 38 hingga 40 juta kiloliter diesel setahun, dengan antara tiga hingga empat juta kiloliter sebelum ini masih perlu diimport bagi memenuhi permintaan domestik.

Beliau berkata, selepas enam bulan ujian dijalankan melibatkan sektor automotif, pertanian, perlombongan, pengangkutan laut, penjanaan elektrik dan kereta api, pengeluaran biodiesel tempatan kini mampu memenuhi sepenuhnya keperluan pasaran dalam negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!