Sindiket warga asing: SPRM beku 14 akaun bank, sita aset lebih RM2 juta

Antara aset dan wang tunai yang disita.
Antara aset dan wang tunai yang disita.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 14 akaun bank yang terdiri daripada lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.

Ia susulan siasatan ke atas 33 individu yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang melibatkan warga asing.

Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri (Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

"Sitaan yang dilakukan hari ini (Jumaat) termasuklah wang tunai berjumlah RM393,150; mata wang Indonesia 18 juta Rupiah (RM4,050); 10 unit kereta mewah dan tiga unit motosikal dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.8 juta dan 14 keping emas (berat 1 gram setiap satu) dianggarkan bernilai kira-kira RM8,300.

"Sitaan turut membabitkan 80 unit pelbagai jenis barangan kemas seperti gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM118,500; tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM42,200; satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000; dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000," katanya.

Menurutnya, sehingga Jumaat sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka dan melalui operasi bersepadu di empat buah negeri yang dijalankan Rabu lalu, SPRM telah melakukan sitaan dan membekukan akaun syarikat dan individu yang terlibat.

Antara kenderaan yang disita.
Antara kenderaan yang disita.

“Semalam (Khamis) SPRM turut menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan. Bagaimanapun beliau telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu melalui Op Layer (SPRM Putrajaya), Op Dalang (SPRM Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan) dan Op Genuine (Melaka), SPRM telah menahan seramai 38 individu dan telah menahan reman seramai 33 individu yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!