JIM rehatkan 11 pegawai direman SPRM

PUTRAJAYA - Seramai 11 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah akan direhatkan daripada tugas sehingga siasatan selesai.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pegawai terbabit tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan rasmi.
Katanya, kes berkenaan melibatkan tangkapan yang dibuat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Kita akan menunggu pihak SPRM menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jalinan Strategik JIM bersama media di sini pada Jumaat.
Zakaria berkata, JIM tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku melibatkan pegawainya.
"Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan. Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM serta agensi penguat kuasa lain dalam usaha memperkukuhkan ketelusan dan integriti dalam JIM.
"Kita memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuhkan integriti penguatkuasaan, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta memperkasakan integriti pegawai," katanya.
Mengulas lanjut, Zakaria memaklumkan sejak 2023 hingga tahun ini, seramai 834 pegawai imigresen telah dikenakan pelbagai tindakan tatatertib dan hukuman.
"Daripada jumlah itu seramai 69 daripada mereka telah dibuang kerja, ia satu jumlah yang besar," katanya.
Beliau berkata, tahun ini sahaja seramai 81 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib yang mana 14 daripadanya telah dibuang kerja.
"Ini menunjukkan kesungguhan kita menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen," katanya.
Pada Khamis, media melaporkan SPRM menahan reman 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.
Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan termasuk membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
Tindakan itu susulan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka.
Di Putrajaya, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai terhadap enam suspek bagi membantu siasatan.
Di Shah Alam pula, Mahkamah Majistret membenarkan kesemua 14 suspek direman selama empat hari hingga 12 Julai bermula hari ini.
Di Seremban, mahkamah mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lima suspek, lima hari terhadap dua lagi suspek manakala dua individu lain direman sehari bagi membantu siasatan.
Di Melaka pula, empat suspek direman selama tujuh hari hingga 15 Julai selepas perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Kesemua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan lapan wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam Rabu ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
