SPRM tahan polis trafik disyaki minta, terima rasuah RM30,000

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang anggota polis trafik di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu disyaki menerima rasuah kira-kira RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik lori sebagai balasan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dan 2025 dengan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya,” katanya.
Sumber itu menjelaskan, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk mendapatkan perintah reman pada Selasa.
“Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga 6 Mac ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang anggota polis trafik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah
- Suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik lori
- Rasuah itu sebagai balasan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang
- Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh
- Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

