Nak ambil pekerja atau guna AI?

Ramai usahawan muda memilih teknologi berbanding mengambil pekerja daripada generasi mereka sendiri. - Imej janaan AI
Ramai usahawan muda memilih teknologi berbanding mengambil pekerja daripada generasi mereka sendiri. - Imej janaan AI
A
A
A

JANGAN terkejut sekiranya usahawan muda kini mula membincangkan persoalan ini: adakah lebih baik menambah pekerja atau sekadar menggunakan teknologi?

Disebabkan mereka mudah mempelajari perkara baharu dan cepat mengadaptasi teknologi, ramai usahawan muda memilih teknologi berbanding mengambil pekerja daripada generasi mereka sendiri. “Guna AI lebih mudah, lebih tepat dan lebih cekap berbanding budak-budak yang tiada pengalaman,” merupakan antara alasan utama mengapa semakin banyak perniagaan kini melihat kepada teknologi untuk menyelesaikan pelbagai cabaran operasi mereka.

Keadaan ini amat ketara terutama dalam kerja-kerja rutin yang berulang. Apabila sesuatu proses telah matang dan data yang mencukupi tersedia, AI (kecerdasan buatan) yang telah dilatih mampu menyelesaikan tugasan tertentu dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding tenaga manusia.

Tambahan pula, kos penggunaan AI jauh lebih rendah berbanding menggaji seorang anak muda dalam bidang kerja yang boleh diautomasi menggunakan AI. Kita perlu ingat bahawa kos seorang pekerja bukan sekadar gaji dan elaun, tetapi turut merangkumi pelbagai kos lain seperti caruman statutori, perubatan serta kos produktiviti apabila pekerja berdepan dengan pelbagai masalah peribadi. AI pula tidak pernah ponteng kerja.

Dari semasa ke semasa, semakin banyak penyelesaian berasaskan AI muncul dengan kemampuan yang setanding dengan kerja manusia, termasuk dalam bidang yang lebih kompleks. Teknologi ini kini mampu digunakan oleh usahawan mikro, kecil dan sederhana (MSME). Oleh sebab itu, risiko penggantian manusia dengan teknologi semakin meningkat.

Walaupun isu ini masih berada pada tahap yang kecil dan belum menjadi rungutan besar dalam masyarakat, ia berpotensi menjadi lebih serius apabila penggunaan AI sebagai pengganti tenaga kerja manusia semakin meluas.

Pada masa ini, AI lebih banyak digunakan sebagai pemangkin produktiviti yang mengurangkan keperluan untuk mengambil pekerja tambahan. Namun secara logiknya, penggunaan AI akan terus berkembang sehingga mengurangkan kadar pertumbuhan peluang pekerjaan, sedangkan kemasukan anak-anak muda ke dalam pasaran kerja sentiasa meningkat.

Sikap anak-anak muda terhadap pekerjaan juga tidak banyak membantu keadaan. Ramai yang mahukan ganjaran dan manfaat yang tinggi dalam suasana kerja yang moden. Sedangkan sebahagian besar MSME di negara kita masih berada pada tahap perkembangan tertentu dan kurang berkemampuan untuk memenuhi kehendak pekerja generasi baharu yang lebih menitikberatkan kualiti kehidupan.

Hanya apabila struktur ekonomi berubah dengan kehadiran lebih banyak perniagaan berteraskan ekonomi baharu yang menawarkan nilai tambah tinggi, barulah suasana tempat kerja menjadi lebih selesa dan selari dengan aspirasi generasi muda yang baru memasuki alam pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi persoalan penting yang tidak boleh diabaikan ialah bagaimana anak-anak muda dididik dan dilatih sebelum memasuki alam pekerjaan. Adakah mereka dilatih berdasarkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh pensyarah atau guru semata-mata? Atau adakah pensyarah dan guru sentiasa memperbaharui ilmu serta kemahiran mereka agar selari dengan keperluan semasa pasaran kerja?

Pendekatan kedua memerlukan budaya pendidikan dan pencarian ilmu yang berbeza dalam kalangan pendidik. Mereka perlu sentiasa menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran agar seiring dengan perkembangan teknologi dan tuntutan industri.

Sekiranya adaptasi AI dalam kalangan usahawan MSME berlaku dengan pantas, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada pasaran pekerjaan. Jika dahulu sektor ini menjadi penjana pekerjaan yang besar dan boleh dijangka disebabkan tahap kecekapan yang lebih rendah, keadaan kini semakin berubah.

Tekanan kos dan persaingan yang semakin sengit menyebabkan MSME lebih agresif dalam mengadaptasi teknologi dan AI. Akibatnya, anak-anak kita terpaksa bersaing dengan mesin lebih awal daripada yang dijangkakan.

Oleh itu, mereka perlu dipersiapkan dengan pendekatan pendidikan dan latihan yang berbeza daripada era kita. Masa depan tidak lagi hanya menuntut kelayakan akademik, tetapi juga keupayaan untuk menyesuaikan diri, menguasai teknologi dan mencipta nilai yang tidak mudah digantikan oleh AI.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!