PRN Johor: Krisis dalam PN beri laluan BN kuasai kerusi Melayu - Ilham Centre

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini dijangka muncul sebagai pencabar utama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat gagal memanfaatkan momentum sokongan yang dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus membuka laluan lebih mudah kepada BN menguasai kerusi majoriti Melayu.
Menurut dapatan ILHAM Centre, prestasi PN menunjukkan peningkatan yang ketara daripada PRN Johor 2022 kepada PRU15, khususnya di kawasan majoriti Melayu apabila berjaya menggandakan sokongan dan menembusi kubu tradisi UMNO.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: Onn Hafiz lebih popular berbanding Anwar - Ilham Centre
Kadar keluar mengundi pengundi Cina jadi taruhan PH di PRN Johor - Ilham Centre
Berdasarkan trajektori itu, ramai menjangkakan PRN Johor kali ini menjadi pentas untuk PN meneruskan momentum tersebut dan memberi saingan lebih sengit kepada BN, terutama dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi muda.
Bagaimanapun, perkembangan politik sepanjang lebih dua tahun kebelakangan ini mengubah keseluruhan landskap berkenaan apabila dinamika hubungan yang semakin tegang antara PAS dan Bersatu menjejaskan keyakinan penyokong terhadap kesepaduan PN.
Menurut laporan itu, isyarat politik yang bercelaru mengenai hala tuju gabungan, selain kegagalan menampilkan kepimpinan dan strategi yang jelas menjelang pilihan raya, telah menghakis imej PN sebagai sebuah alternatif yang bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.
Keadaan itu menyebabkan PN memasuki PRN Johor dalam keadaan tempang dan tanpa persediaan yang mencukupi apabila sebahagian penyokong tradisinya kecewa dengan kelemahan penyelarasan jentera, kempen yang kurang tersusun serta kegagalan menampilkan naratif yang mampu menandingi kelebihan BN.
ILHAM Centre mendapati di banyak kawasan majoriti Melayu, pertandingan yang pada asalnya dijangka sengit akhirnya lebih memihak kepada BN apabila PN gagal memanfaatkan asas sokongan yang dibina sejak PRU15.
PH tidak berupaya
Dalam masa sama, Pakatan Harapan (PH) pula tidak berupaya memberikan cabaran yang signifikan di kawasan majoriti Melayu. Keadaan itu sepatutnya memberi ruang kepada PN untuk muncul sebagai pencabar utama, namun kelemahan dalaman gabungan tersebut telah mengubah dinamik persaingan.
Akibatnya, sebahagian pengundi yang sebelum ini cenderung kepada PN memilih untuk kembali menyokong BN atas pertimbangan sentimen, manakala sebahagian lagi mengambil pendekatan berkecuali.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa sebahagian besar pengundi muda yang sebelum ini obses dengan PN sebenarnya tidak menyedari sepenuhnya keretakan hubungan antara PAS dan Bersatu.
Mereka masih melihat PN sebagai satu jenama politik yang utuh, sedangkan di peringkat kepimpinan gabungan itu sedang berdepan krisis keyakinan dan hala tuju.
ILHAM Centre merumuskan jurang antara persepsi akar umbi dengan realiti di peringkat kepimpinan menyebabkan PN gagal menterjemahkan sokongan laten tersebut kepada gerak kerja pilihan raya yang berkesan.
Dalam konteks PRN Johor, kelemahan itu bukan sahaja menyebabkan PN gagal muncul sebagai pencabar utama, malah secara tidak langsung memberi laluan lebih mudah kepada BN untuk menguasai sebahagian besar kerusi majoriti Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

