BN lebih tepat baca 'setting' PRN, PH masih berfikir dalam kerangka PRU - Ilham Centre

Keupayaan BN menyesuaikan strategi mengikut karakter sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat menjadi antara faktor yang meletakkan gabungan itu di hadapan.
Keupayaan BN menyesuaikan strategi mengikut karakter sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat menjadi antara faktor yang meletakkan gabungan itu di hadapan.
A
A
A

SHAH ALAM– Keupayaan BN menyesuaikan strategi mengikut karakter sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat menjadi antara faktor yang meletakkan gabungan itu di hadapan, manakala Pakatan Harapan (PH) masih dipengaruhi momentum dan pencapaian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut dapatan ILHAM Centre, kedua-dua gabungan utama memasuki gelanggang PRN Johor dengan kerangka strategi yang berbeza, sekali gus mempengaruhi pendekatan kempen, pemilihan isu, sasaran pengundi dan strategi mobilisasi yang digerakkan sepanjang tempoh berkempen.

Bagi BN, pengalaman memenangi PRN Johor 2022 dijadikan rujukan penting dalam merangka strategi kempen dengan memberi fokus kepada pengukuhan sokongan teras Melayu, mengekalkan naratif kestabilan pentadbiran negeri, memperkukuh kekuatan calon serta memastikan jentera bergerak secara tersusun sehingga hari pengundian.

Strategi itu dibina atas andaian bahawa tingkah laku pengundi dalam PRN lebih dipengaruhi oleh prestasi kerajaan negeri, kepimpinan Menteri Besar dan isu-isu tempatan berbanding sentimen nasional.

Dapatan kajian menunjukkan pendekatan tersebut berjaya disesuaikan dengan mood pengundi Johor sepanjang kempen, sekali gus membolehkan BN menguasai rentak pertandingan sejak awal.

Sebaliknya, PH dilihat masih banyak berfikir dalam kerangka PRU, khususnya dengan menjadikan pencapaian PRU15 sebagai asas jangkaan terhadap prestasi mereka dalam PRN.

Laporan itu menjelaskan bahawa kedua-dua pilihan raya mempunyai dinamik yang berbeza. Semasa PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi hanya 54.9 peratus, sebahagiannya dipengaruhi oleh situasi pasca pandemik Covid-19.

Beberapa bulan kemudian, PRU15 mencatat lonjakan hampir 20 peratus kepada 74.9 peratus, sekali gus mengubah landskap persaingan terutama di kawasan bandar dan majoriti Cina, dengan prestasi PH ketika itu banyak dipacu oleh gelombang keluar mengundi yang lebih tinggi serta sentimen nasional yang kuat.

Bagaimanapun, ILHAM Centre mendapati andaian bahawa momentum PRU15 akan berulang dalam PRN kali ini ternyata tidak berlaku apabila tahap keterujaan pengundi jauh lebih sederhana, manakala isu nasional tidak lagi menjadi pemacu utama.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, perhatian pengundi lebih tertumpu kepada prestasi pentadbiran kerajaan negeri serta penyelesaian isu-isu harian, menyebabkan PH berdepan kesukaran membina gelombang baharu yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi pada skala seperti PRU15.

Secara keseluruhannya, ILHAM Centre merumuskan kejayaan strategi politik dalam PRN Johor banyak bergantung kepada keupayaan memahami 'setting' pilihan raya yang sedang dihadapi. BN dilihat lebih awal menyesuaikan kempen dengan karakter PRN yang menekankan kestabilan, prestasi kerajaan negeri dan kekuatan organisasi, manakala PH masih membawa sebahagian pendekatan serta jangkaan yang dibentuk oleh pengalaman PRU15, sekali gus menjadi antara faktor yang menjelaskan mengapa BN lebih berjaya menguasai rentak pertandingan sejak awal kempen.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!