Program 'Cilik-Cilik Dah Celik' TH diperluas ke Pantai Timur

KUALA TERENGGANU - Lembaga Tabung Haji (TH) memperluaskan program literasi kewangan 'Cilik-Cilik Dah Celik' ke Pantai Timur tahun ini susulan kejayaan pelaksanaan program perintis melibatkan kira-kira 100 keluarga muda di Lembah Klang pada tahun lalu.
Program dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu akan melibatkan 100 keluarga muda dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bagi membudayakan amalan kewangan berhemah sejak usia muda sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kejayaan program perintis sebelum ini membuktikan pendekatan pendidikan kewangan yang dilaksanakan berjaya meningkatkan tabiat menabung serta tahap literasi kewangan dalam kalangan peserta.
Menurut beliau, sepanjang program tahun lalu, sebanyak 92.3 peratus daripada hampir 100 keluarga yang menyertainya berjaya menabung secara konsisten.
"Lebih 50 peratus peserta didapati berjaya mengumpul simpanan melebihi RM1,000 dalam tempoh 100 hari.
"Selain itu, kira-kira 80 peratus peserta menunjukkan peningkatan positif daripada aspek sikap, pengetahuan dan tingkah laku kewangan hasil modul pembelajaran serta intervensi yang dijalankan," katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mustakim menjelaskan, modul pembelajaran yang interaktif tersebut amat membantu ibu bapa dan anak-anak merancang kewangan dengan lebih sistematik, menilai perbelanjaan secara kritis serta membuat keputusan kewangan secara lebih bijak dan berdisiplin.
"TH komited membantu masyarakat membina asas kewangan yang kukuh sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.
"Persediaan itu perlu bermula dari awal melalui amalan menabung dan pengurusan kewangan yang baik agar perjalanan menuju istito'ah (kemampuan) dapat dilalui dengan lebih tenang dan yakin," ujarnya lagi.
Beliau berkata, Program 'Cilik-Cilik Dah Celik' 2026 mengekalkan format sedia ada dengan menyediakan enam modul literasi kewangan yang komprehensif.
Jelasnya, ia meliputi aspek transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, pembinaan kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan dan pengurusan hutang.
"Sepanjang program yang dijadualkan berlangsung sehingga November depan, kesemua peserta akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk bengkel pendidikan kewangan, simulasi kewangan, pembelajaran dalam talian, gamifikasi serta pemantauan simpanan anak-anak secara berterusan.
"Bagi menyuntik semangat, peserta yang menunjukkan komitmen dan prestasi simpanan terbaik turut berpeluang menerima ganjaran bulanan serta hadiah utama," ujar beliau.
Pada masa sama, katanya, TH turut memberi penekanan serius terhadap aspek keselamatan kewangan dengan mendidik peserta mengenal pasti taktik penipuan atau scammer, melindungi data peribadi serta membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa cubaan penipuan.
Sementara itu, bekas peserta program, Nur Nabilah Alias mengakui penyertaannya dalam program berkenaan banyak membantu keluarganya menyusun perancangan kewangan dengan lebih teratur.
Katanya, ilmu yang diperoleh sepanjang program bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kewangan keluarga, malah menjadi bekalan jangka panjang yang amat berguna dalam membuat persediaan menunaikan ibadah haji.
"Program seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi masa depan.
"Semoga segala ilmu dan amalan yang dipelajari menjadi bekalan yang berpanjangan buat kami semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

