Hanya 10 minit naikkan bot candat sotong karam sedalam 24 meter

Kerja-kerja mengapungkan sebuah bot yang digunakan untuk aktiviti mencandat sotong yang karam dalam kejadian pada 3 Julai lalu.
Kerja-kerja mengapungkan sebuah bot yang digunakan untuk aktiviti mencandat sotong yang karam dalam kejadian pada 3 Julai lalu.
A
A
A

​KUALA NERUS – Jarak penglihatan yang terhad serta arus deras menjadi cabaran utama dalam usaha mengapungkan sebuah bot nelayan yang karam di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Seorang penyelam, Mohd Amirul Mat Noh, 42, berkata, bot berkenaan karam pada kedalaman 24 meter, manakala jarak penglihatan di dasar laut pula hanya sekitar dua meter ketika kerja-kerja mengikat tong plastik dilakukan.

​Menurutnya, proses mencari bangkai bot berkenaan di tengah laut pada peringkat awal tidak begitu sukar kerana pemiliknya sudah meletakkan penanda ketika bot itu karam.

​"Hari Selasa lepas sekitar jam 3 petang, saya ke lokasi terlebih dahulu untuk mencari bangkai dan menanda lokasi bot itu.

"Keesokannya (Rabu), kami ke lokasi itu semula dan menurunkan 20 biji tong plastik berisi air sebelum diikat pada badan bot tersebut.

​"Sebaik kerja mengikat selesai, angin bertekanan tinggi dimasukkan ke dalam tong berkenaan.

"Dalam tempoh 10 minit, bot yang berada di kedalaman 24 meter itu akhirnya muncul ke permukaan," katanya yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam kerja-kerja mengapung bot karam.

Dalam tempoh 10 minit, bot yang berada di kedalaman 24 meter itu akhirnya muncul ke permukaan
Dalam tempoh 10 minit, bot yang berada di kedalaman 24 meter itu akhirnya muncul ke permukaan

Artikel Berkaitan:

​Bagaimanapun, Mohd Amirul menjelaskan, keadaan ribut dan laut bergelora pada pagi Rabu turut menguji kecekapan pasukannya, selain kapasiti tangki oksigen yang hanya mampu bertahan selama 25 minit.

​"Walaupun kelihatan sukar, proses menaikkan bot berjalan lancar. Cuma terdapat sedikit masalah apabila tali penunda pada bot terputus.

​"Tapi, kerja menunda akhirnya berjaya dilakukan selepas bot yang dilabuhkan berhampiran Jambatan Angkat (Drawbridge) dialihkan ke jeti nelayan Kampung Batin, semalam," katanya.

​Dalam kejadian pada 3 Julai lalu, sebuah bot yang membawa tekong, kru dan 10 pemancing dilaporkan karam selepas dipercayai mengalami kerosakan kira-kira jam 8.40 malam.

​Seramai 11 mangsa terselamat dalam insiden itu, manakala seorang kru bot, Ahmad Nasaruddin Mohd Jalil, 37 disahkan meninggal dunia.

​Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan proses menaikkan bot nelayan tersebut sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!