Seluruh rakyat terima tempias manfaat PRN

SHAH ALAM - Pelbagai inisiatif, pemberian peruntukan dan kelonggaran dasar diumumkan kerajaan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak dilihat sebagai sekadar 'gula-gula pilihan raya'.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, ini disebabkan manfaat tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pengundi sebaliknya melimpah kepada rakyat seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan seperti menambah baik perlindungan sosial, bantuan kepada peneroka Felda, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) serta kelonggaran berkaitan pelaksanaan dasar menunjukkan kerajaan mengambil kira pandangan dan keresahan seluruh rakyat Malaysia.
"Daripada pengumuman itu, tidak dinafikan bahawa seluruh rakyat merasakan limpahan impak yang positif. Secara tidak langsung dapat memberikan kelegaan ekonomi kepada rakyat dalam konteks jangka panjang.
"Ini menunjukkan kerajaan memainkan peranan mewujudkan mekanisme-mekanisme penting dalam usaha untuk menjadikan ia sebagai salah satu teras pentadbiran yang bakal dinikmati oleh semua rakyat," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa menteri di bawah Kerajaan Perpaduan membuat pengumuman berkaitan dasar-dasar membabitkan kepentingan rakyat beberapa hari menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.
Antaranya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh inisiatif membabitkan peruntukan hampir RM2 bilion untuk warga Felda sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda.
Pada Rabu pula, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju mengkaji semula pelaksanaan e-invois serta cadangan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.

Sementara itu, Ariff Aizuddin yang juga bekas Felo Penyelidikan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berkata, pengumuman dibuat dalam tempoh hampir dengan hari pengundian pilihan raya sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada budaya politik tempatan.
Ujar beliau, pendekatan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk strategi saat akhir untuk meningkatkan momentum sokongan kepada parti politik dalam kerajaan.
"Pendekatan sebegitu untuk memberi saingan secara langsung kepada pihak lawan selain mengukuhkan keyakinan pengundi terhadap kerajaan. Umum mengetahui bahawa dalam konteks PRN Johor, elemen-elemen seperti Felda adalah kritikal kerana ia merupakan bank sokongan pengundi Melayu.
"Jika diabaikan segmen seperti itu, agak sukar untuk kemenangan itu disasarkan. Tidak hairan jika pengumuman berbentuk insentif melibatkan segmen pengundi Felda diketengahkan sebagai bahan kempen," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin
PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin
Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu
Ariff Aizuddin turut menjangkakan faktor ekonomi bakal menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan sokongan pengundi khususnya membabitkan kelompok pengundi atas pagar.
Ujar beliau, isu kos sara hidup dan harga barang merupakan indikator penting yang akan mempengaruhi penilaian pengundi terhadap prestasi kerajaan.
"Saya merasakan faktor ekonomi adalah penentu dalam merangsang mobilisasi pengundi atas pagar ini dan tidak menolak kemungkinan faktor seperti identifikasi kepartian agak signifikan di mana kecenderungan untuk menilai sesuatu itu daripada konteks bendera kepartian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

