98 peratus mangsa ribut Bercham sudah kembali ke rumah

Boon Piow (kiri) bersama Spencer Lee ketika meninjau kerja-kerja baik pulih kediaman penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut, Jun lalu.
Boon Piow (kiri) bersama Spencer Lee ketika meninjau kerja-kerja baik pulih kediaman penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut, Jun lalu.
A
A
A

IPOH - Kira-kira 98 peratus mangsa bencana ribut yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham pada Jun lalu telah kembali ke kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow berkata, sebahagian besar mangsa telah menyelesaikan urusan baik pulih rumah, manakala hanya segelintir mengambil masa lebih lama untuk kembali atas faktor tertentu.

Menurutnya, proses baik pulih berjalan lancar hasil bantuan pelbagai pihak, termasuk sumbangan awal RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Selain Nadma, pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Sebagai wakil rakyat, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana sumbangan ini amat besar kepada komuniti di sini,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM1 juta daripada Genting Malaysia Berhad kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Bercham di Kampung Baru Bercham di sini.

Simbolik penyerahan disempurnakan Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Genting Malaysia Berhad, Spencer Lee kepada Pengerusi JPKK Kampung Baru Bercham, Loh Kwek Choon dan Pengerusi JPKK Kampung Baru Tawas, Liew Woou Tian sebagai wakil mangsa.

Boon Piow berkata, bantuan tersebut akan diagihkan secara adil kepada kira-kira 554 premis termasuk rumah, kedai dan rumah ibadat yang terjejas.

Katanya, setakat ini, proses semakan senarai masih dijalankan bagi memastikan agihan dibuat secara telus dan saksama, termasuk melibatkan kes lebih daripada satu premis milik individu sama.

Artikel Berkaitan:

"Semua jenis sumbangan yang diterima akan disalurkan dalam satu majlis pada Ahad ini. Mangsa diingatkan supaya peka terhadap panggilan telefon atau mesej berkaitan bantuan bagi mengelakkan terlepas maklumat penting," katanya.

Proses baik pulih berjalan lancar hasil bantuan pelbagai pihak termasuk sumbangan awal RM1,000 daripada Nadma.
Proses baik pulih berjalan lancar hasil bantuan pelbagai pihak termasuk sumbangan awal RM1,000 daripada Nadma.

Sementara itu, Spencer Lee berkata, sumbangan RM1 juta tersebut disalurkan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Genting Bersama Malaysia’ bagi membantu komuniti terkesan.

Menurutnya, pihaknya terpanggil untuk membantu selepas dimaklumkan mengenai skala bencana yang melibatkan ratusan kediaman di kawasan berkenaan.

“Selain bantuan bencana, program ‘Genting Bersama Malaysia’ turut melibatkan pelbagai inisiatif komuniti termasuk membantu dua sekolah di bawah program Sekolah Angkat Madani di Pahang, menyalurkan bantuan kepada pusat demensia di Kuala Lumpur serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa ribut, Liew Kim Seng, 46, berkata, rumah serta bengkel motosikal miliknya mengalami kerosakan teruk dengan kos baik pulih mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, sebahagian besar kerosakan telah dibaiki menggunakan wang sumbangan dan tambahan sendiri.

“Kami lega dan bersyukur dengan keprihatinan semua pihak. Walaupun sudah kembali ke rumah, perasaan takut dan trauma masih ada setiap kali melihat angin kuat,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, ratusan kediaman di sekitar Bercham terjejas akibat hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam.

Antara kawasan terlibat termasuk Hala Tasek Timur 1, Lorong Bercham 19, Dataran Tasek Timur, Lintasan Tasek Timur 1 dan 3, Hala Tasek Timur 34 serta Laluan Tasek Timur 15.

Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan siling, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!