Penganjur tampil mohon maaf, nafi anjur disko di Kelantan

KOTA BHARU – Penganjur program bertemakan retro hippie era 60-an dan 70-an yang mencetuskan kontroversi di media sosial tampil memohon maaf serta menegaskan majlis berkenaan bukan penganjuran disko seperti didakwa.
Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Fykaaschaa berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran program itu dan menjelaskan majlis berkenaan hanya perhimpunan kecil melibatkan ahli keluarga serta rakan-rakan rapat.
Menurut dia, penggunaan perkataan 'Disco Retro' pada poster hanyalah merujuk kepada tema pemakaian peserta dan bukannya menggambarkan bentuk hiburan yang dianjurkan.
"Saya akur dengan undang-undang kerajaan negeri dan pusat. Apa yang berlaku tidaklah seperti yang diviralkan.
"Majlis itu merupakan acara persendirian berskala kecil melibatkan keluarga, rakan-rakan rapat dan sambutan hari lahir.
Kebanyakan yang hadir terdiri daripada suami isteri, keluarga serta kanak-kanak," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada Rabu.
Ujar dia, dakwaan kononnya majlis itu menjadi lokasi aktiviti tidak bermoral, pesta mabuk atau penyalahgunaan bahan terlarang adalah tidak benar.
Jelasnya, bayaran yang dikenakan kepada peserta hanya bagi menampung kos sewaan dewan, makanan serta aktiviti permainan yang diadakan sepanjang program berlangsung.
Menurut Fykaaschaa, isu itu menjadi tular selepas tersebarnya video pendek memaparkan peserta menari, sedangkan ia bukan aktiviti utama sepanjang majlis berkenaan.
"Bagi kami, ia sekadar aktiviti biasa yang berlaku dalam sesuatu majlis. Niat kami hanya mahu berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan untuk melepaskan tekanan, bukannya menubuhkan kelab disko," katanya.
Dalam masa sama, dia turut menjelaskan bahawa individu dikenali sebagai JL Fara bukan penganjur program tersebut seperti yang tular di media sosial.
Sebaliknya, katanya, JL Fara hanya menyewakan dewan kepada beliau bagi penganjuran majlis berkenaan.
Fykaaschaa turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya program itu menimbulkan rasa kurang senang dan memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah bertemu dengannya bagi mendapatkan penjelasan.
"Dengan ini saya bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin. Pihak MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam) juga telah datang berjumpa kami, jadi saya berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan," katanya.
Terdahulu, penganjur program hiburan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang tular di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan di sini berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun dan denda maksimum RM60,000 selepas didakwa menganjurkan acara itu tanpa permit serta menjual tiket hiburan tanpa lesen sah.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, hasil siasatan Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mendapati penganjur tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapatkan kelulusan untuk menganjurkan program berkenaan.
Menurut beliau, penganjur dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menganjurkan hiburan tanpa permit yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, penganjur turut disyaki melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, pemilik premis turut berdepan tindakan kerana didakwa melanggar syarat lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

