u-Pustaka pacu negara membaca

GEORGE TOWN – Platform perpustakaan digital kebangsaan, u-Pustaka menjadi antara pemacu utama usaha kerajaan merealisasikan sasaran Malaysia muncul sebagai negara membaca menjelang 2030 menerusi peluasan akses kepada bahan bacaan digital secara percuma.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, platform yang dibangunkan Perpustakaan Negara Malaysia itu kini menawarkan lebih sejuta judul kandungan digital merangkumi e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal yang boleh diakses oleh rakyat tanpa mengira lokasi dan masa.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai menerusi komitmen berterusan kerajaan bersama penerbit, penulis, institusi pendidikan dan seluruh masyarakat dalam membudayakan amalan membaca.
“Pelbagai inisiatif kerajaan telah menunjukkan impak positif apabila kadar pembacaan rakyat Malaysia meningkat daripada hanya dua buah buku setahun pada 2005 kepada 15 buah buku setahun pada 2015.
“Angka ini terus meningkat kepada purata 24 buah buku setahun pada 2023 dengan sebanyak 88.6 peratus rakyat Malaysia kini mengamalkan tabiat membaca, merangkumi purata 16 buah buku fizikal dan lapan buku digital setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Aaron menegaskan perkembangan pembacaan digital tidak bermakna buku fizikal semakin dipinggirkan.
Sebaliknya, katanya, pesta buku kekal menjadi wadah penting untuk menyemarakkan budaya membaca, mempertemukan penulis, penerbit dan pembaca serta terus menyokong perkembangan industri perbukuan negara.
“Kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang merekodkan kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung membuktikan minat masyarakat terhadap buku fizikal masih kekal kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron berkata, seni kaligrafi perlu terus dipelihara, dimartabatkan dan diangkat sebagai warisan budaya yang hidup agar tidak tenggelam dalam arus digitalisasi kerana turut berperanan sebagai medium memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.
Menurutnya, Festival Kaligrafi Perpaduan yang memasuki tahun kedua penganjurannya membawa makna besar dalam konteks keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Katanya, seni kaligrafi sama ada khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil mahupun pelbagai bentuk tulisan tradisional mempunyai nilai yang amat tinggi dalam sejarah ketamadunan manusia kerana mencerminkan kehalusan budaya, pemikiran dan jati diri setiap etnik.
“Ia membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghayati keindahan seni tulisan daripada kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia.
“Lebih penting, ia menjadi wahana yang menyemarakkan persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati antara masyarakat berbilang bangsa, bahasa dan agama, sekali gus memperkukuh asas perpaduan nasional,” katanya.
Beliau menambah, walaupun dunia berkembang pesat dengan kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), seni kaligrafi tetap mempunyai nilai yang tidak boleh digantikan.
Justeru, katanya, warisan budaya berkenaan perlu terus dipelihara kerana menjadi cerminan identiti, sejarah dan jati diri bangsa.
Menurut Aaron, Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang bukan sekadar meraikan budaya membaca dan industri perbukuan.
Sebaliknya, katanya, penganjuran itu turut mengangkat seni tulisan sebagai warisan ketamadunan, lambang identiti serta medium penyatuan masyarakat.
REAKSI

“Sambutan memang sangat menggalakkan. Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang diadakan di kompleks beli-belah, kali ini kebanyakan pengunjung datang memang dengan niat untuk membeli buku.
“Daripada segi jualan, saya boleh katakan peningkatannya antara lima hingga 10 kali ganda berbanding pesta buku yang dianjurkan sebelum ini,” - Pemilik Informasi Sdn Bhd, Mohd Hazizul Mohd Hashim, 50.

“Lokasi yang dipilih sangat sesuai dan berharap ia dikekalkan pada masa hadapan kerana menawarkan pelbagai kemudahan kepada peniaga dan pengunjung.
“Kalau boleh saya mahu kekalkan lokasi ini. Kemudahannya lengkap, ruangnya selesa, ada surau dan urusan membawa masuk serta mengeluarkan barangan juga lebih mudah.” - Pengurus Operasi Pro Jitu Resources, Shaikh Nabil Kassim, 36.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

