Tiada perancangan tubuh pasukan SAR khas Orang Asli - Bomba

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak setakat ini tidak merancang untuk menubuhkan pasukan khas mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan masyarakat Orang Asli kerana penglibatan komuniti itu sudah sedia wujud dalam operasi sedia ada.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, anggota Orang Asli sememangnya terlibat dalam pasukan penyelamat termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) selain membantu menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mempunyai anggota mahir dengan kawasan pedalaman.
Menurutnya, bantuan masyarakat Orang Asli setempat ketika operasi mencari pendaki yang hilang di Bukit Batu Putih, Kampar baru-baru ini turut diselaraskan selepas mendapat tawaran daripada Pejabat Menteri Besar Perak.
"Kita tidak nafikan keterlibatan masyarakat Orang Asli dalam operasi SAR itu. Sebenarnya dari awal lagi dalam pasukan STORM sendiri ada anggota Orang Asli, begitu juga dalam pasukan PGA yang terlibat.
"Cuma masyarakat mungkin tidak dimaklumkan bahawa dalam pasukan tersebut memang sudah ada anggota Orang Asli yang arif dengan kawasan berkenaan. Selepas beberapa hari operasi dijalankan, pegawai khas daripada Pejabat Menteri Besar turut menawarkan bantuan Orang Asli setempat dan kita tiada halangan untuk mereka bersama-sama membantu usaha pencarian," katanya kepada pemberita.
Sayani berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya, di sini pada Khamis.
Sayani berkata, JBPM telahpun menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela Orang Asli di beberapa kawasan termasuk Ulu Geruntum.
"Jadi, kalau semata-mata untuk SAR kita nak tubuh pasukan khas, saya melihat tidak ada keperluan yang besar kerana usaha itu sebenarnya telah pun dilaksanakan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JBPM Perak kini berada pada tahap kesiapsiagaan biasa bagi menghadapi cuaca panas dan kemungkinan fenomena El Nino dengan mengekalkan 80 peratus anggota bertugas manakala baki 20 peratus bercuti mengikut jadual.
Katanya, semua aset dan logistik berada dalam keadaan baik serta mencukupi tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada negeri lain.
Beliau turut memaklumkan JBPM Perak telah menerima 14 unit kenderaan utiliti pacuan empat roda (LOV) yang ditempatkan di balai-balai bomba bagi meningkatkan keupayaan operasi termasuk menghadapi banjir, kebakaran hutan dan situasi kecemasan lain.
Dalam pada itu, Sayani menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka sepanjang cuaca panas bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Beliau berkata, pemilik rumah juga perlu lebih berwaspada ketika memasak, manakala pengguna jalan raya digalakkan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta menyediakan alat pemadam api di dalam kenderaan sebagai langkah awal menghadapi kecemasan.
Pada 6 Jun lalu, media melaporkan, seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49 yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah, Perak ditemui selamat selepas operasi SAR dijalankan selama 14 hari melibatkan pelbagai pihak.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

