Ikan sekecil jari, nilai ratusan ringgit

DI sebalik tubuhnya hanya sebesar jari kelingking, ikan guppy yang sering dianggap sekadar penghuni akuarium rupa-rupanya membawa rezeki cukup besar buat seorang guru memandu apabila terpaksa mengambil cuti tanpa gaji demi menjaga ibunya diserang strok sejak lebih dua tahun lalu.
Bagi Mohamad Hafis Hashim, 34, ikan hiasan itu bukan sekadar hobi, sebaliknya menjadi penyelamat ketika berdepan 'ujian' hidup semasa negara dilanda pandemik Covid-19 dan kini apabila tanggungjawab menjaga ibunya yang berusia 66 tahun memerlukan komitmen sepenuh masa.
Anak keenam daripada lapan beradik yang mendapat tunjuk ajar Jabatan Perikanan Kelantan itu berkata, segala-galanya bermula secara kebetulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) enam tahun lalu apabila dia tidak lagi dapat bekerja sebagai guru memandu.
"Ketika itu saya cuba menjual guppy secara suka-suka untuk menampung perbelanjaan harian. Saya bela dalam bekas polistirena sahaja.
"Tak sangka sambutan sangat menggalakkan. Dari situlah saya nampak potensi sebenar ikan ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedai ikan hiasannya yang terletak di sebelah rumahnya di Kampung Kubang Golok, Bachok, Kelantan.
Menurut Mohamad Hafis, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan itu terus berkembang sehingga membolehkannya membina ruang ternakan khas di tepi rumah pada tahun 2024 bagi menampung pertambahan koleksi ikan.

Katanya, ramai menyangka guppy hanyalah ikan murah, sedangkan baka tertentu mampu mencecah ratusan ringgit bergantung kepada ketulenan baka, corak warna, bentuk badan dan kualitinya.
"Di kedai saya, harga bermula serendah RM20 sepasang sehingga sekitar RM300 sepasang.
"Bagi kanak-kanak pula, saya sediakan ikan gred biasa pada harga RM1 seekor supaya semua golongan berpeluang memiliki ikan hiasan," katanya.
Menurut dia, kejayaan menternak guppy bukan hanya bergantung kepada baka berkualiti, malah memerlukan disiplin tinggi dalam penjagaan air.
Ujarnya, air paip tidak boleh digunakan secara terus kerana mengandungi klorin, manakala air telaga juga perlu melalui proses rawatan sebelum sesuai digunakan.
"Kalau kualiti air terjejas, ikan mudah mati. Itu cabaran paling besar dalam penternakan guppy," katanya.
Kini, Mohamad Hafis menguruskan kira-kira 500 akuarium yang menempatkan sekitar 30 ekor ikan setiap satu.
Katanya, ikan diberi makan dua hingga tiga kali sehari menggunakan pelet dan artemia, dengan kos makanan mencecah puluhan hingga ratusan ringgit bagi memastikan kesihatan serta kualiti ikan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut dia, hampir 99 peratus ikan yang diternaknya ialah guppy melibatkan kira-kira 50 variasi baka, selain dua spesies molly iaitu Sakura dan Zebra.
"Baka seperti Dumball, Albino Koi dan Sky Blue antara yang paling mendapat permintaan kerana warna dan bentuk badannya yang unik," katanya.
Mohamad Hafis memberitahu, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak dan penggemar ikan hiasan, malah warga emas turut menjadikan guppy sebagai pelengkap hiasan kediaman.
Tambahnya, pelanggan datang bukan sahaja dari seluruh Kelantan, malah dari negeri lain serta pelancong yang singgah ketika pulang bercuti.

Selain jualan di kedai, dia turut menerima tempahan untuk dihantar ke beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Vietnam dan Taiwan.
Pada masa sama, Mohamad Hafis aktif menyertai pertandingan ikan hiasan di seluruh negara bagi mengukur kualiti baka yang diternaknya.
Menurutnya, walaupun hadiah kemenangan bukan matlamat utama, pengiktirafan daripada komuniti penternak memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
"Saya pernah memenangi pelbagai pertandingan termasuk di luar Kelantan.
"Baginya, pertandingan bukan semata-mata mengejar hadiah. Lebih penting ialah peluang bertukar ilmu, mengeratkan persahabatan dan meningkatkan mutu baka supaya industri ikan hiasan tempatan terus berkembang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

