Platform berubah, sikap negatif tak hilang

KEMUNCULAN platform media sosial baharu sering membawa keterujaan kepada pengguna.
Begitulah juga dengan Threads yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Ramai menyukainya kerana kandungannya lebih santai, mudah diikuti dan memberi ruang kepada pengguna berkongsi pandangan secara spontan.
Pada peringkat awal, ramai berasakan platform itu menawarkan suasana yang lebih segar berbanding media sosial lain.
Perbincangan lebih terbuka, perkongsian lebih ringan dan interaksi pula kelihatan lebih positif.
Tidak hairanlah apabila semakin ramai pengguna beralih dan menjadikannya sebahagian daripada rutin harian.
Namun, seperti yang sering berlaku dalam dunia digital, sesuatu yang pada mulanya menyeronokkan boleh berubah apabila muncul segelintir pihak yang menyalahgunakan ruang tersebut.
Kini semakin banyak keluhan kedengaran mengenai sikap sesetengah pengguna yang gemar menghakimi orang lain, memperlekeh pandangan berbeza serta menjadikan ruangan komen sebagai medan serangan peribadi.
Lebih membimbangkan apabila budaya buli siber masih terus menular.
Ada pengguna yang sewenang-wenangnya menghina penampilan, latar belakang dan kehidupan individu lain hanya kerana tidak sehaluan.

Sikap sebegini bukan sahaja mencemarkan suasana platform, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan mental mangsa.
Hakikatnya, masalah itu bukan terletak pada Threads semata-mata. Sebelum ini perkara sama berlaku di pelbagai platform lain.
Apa juga medium yang diperkenalkan, jika dipenuhi pengguna yang membawa sikap negatif, toksik dan gemar menjatuhkan orang lain, akhirnya platform tersebut akan kehilangan daya tarikannya.
Kita sering bercakap mengenai teknologi yang semakin maju, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana manusia menggunakannya.
Media sosial sepatutnya menjadi ruang untuk bertukar pandangan, berkongsi ilmu dan membina hubungan yang sihat.
Akhirnya, secanggih mana sekalipun sesebuah platform, pengalaman penggunanya tetap bergantung kepada sikap masyarakat.
Jika rasa hormat dan adab diutamakan, dunia digital akan menjadi tempat yang lebih selamat dan menyeronokkan untuk semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
