Sindiket guna fatwa halal palsu jual produk kripto

JAKARTA - Polis Metro Jakarta Selatan sedang menyiasat satu kes disyaki penipuan yang menggunakan dokumen kononnya fatwa halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) bagi produk mata wang kripto.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta Selatan, AKP Joko Adi Wibowo berkata, siasatan masih berada pada peringkat awal selepas pihaknya menerima laporan polis pada 22 Jun lalu.
“Ketika ini, kes berkenaan masih dalam proses siasatan,” katanya seperti dipetik agensi berita Antara pada Isnin.
Menurut beliau, siasatan menjurus kepada dakwaan penipuan, penggelapan dan pemalsuan dokumen.
Kes itu terbongkar selepas sebuah syarikat menyerahkan dokumen yang didakwa sebagai fatwa halal MUI berkaitan pelaburan produk kripto.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati MUI tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa halal bagi pelaburan berkenaan.
Joko berkata, siasatan turut mendapati wujud dakwaan pemalsuan tandatangan serta cop rasmi MUI pada dokumen yang diserahkan kepada mangsa.
“Laporan polis dibuat hampir empat tahun selepas kejadian berlaku,” katanya.
Beliau berkata, individu yang dilaporkan itu disiasat mengikut peruntukan berkaitan penipuan dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan Indonesia.
Setakat ini, polis masih mengumpulkan bukti dan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

