Kajian separuh penggal perkemas Perak Sejahtera 2030

A
A
A

Saarani ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030.
Saarani ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan pelan pembangunan itu kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan semasa menjelang tahun 2030.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian berkenaan akan melibatkan penyelarasan indikator pemantauan, penambahbaikan agenda serta projek berimpak tinggi (flagship) selain pemutihan Dashboard Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, kajian itu akan mengambil kira keberkesanan pelaksanaan sedia ada, dapatan sesi libat urus, hasil Perak Policy Research Conference 2026, kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta trend ekonomi baharu.

"Kajian ini telah pun bermula selepas pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Institut Darul Ridzuan(IDR) dan akan dilaksanakan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Kita perlu selesaikannya sebelum memasuki tahun depan kerana setiap tahun kita mengadakan State Leadership Retreat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Mengulas kemungkinan berlaku perubahan terhadap pelan berkenaan, Saarani berkata, ia bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan.

Katanya, ia juga akan memberi perhatian kepada keperluan menjajarkan semula hala tuju pembangunan negeri dengan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta trend ekonomi baharu.

Selepas empat tahun pelaksanaannya, kerajaan negeri mahu memastikan Perak Sejahtera 2030 bukan sahaja dinilai berdasarkan jumlah projek atau program, tetapi juga keberhasilan sebenar kepada rakyat.

Penyelarasan indikator pemantauan penting supaya tahap kemajuan, jurang pencapaian dan keutamaan intervensi dasar dapat dikenal pasti dengan lebih jelas.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!