Pertahan pembiayaan pendidikan tinggi demi masa depan negara

CADANGAN Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan untuk melaksanakan penjimatan perbelanjaan mengurus yang dilaporkan melibatkan pengurangan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekitar RM2.39 bilion wajar diberi perhatian serius.
Walaupun usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara perlu difahami, pendidikan tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai ruang mudah untuk penjimatan kerana implikasinya terlalu besar terhadap universiti awam, penyelidikan, kebajikan mahasiswa dan pembangunan modal insan negara.
Ketika Belanjawan 2026 dibentangkan, kerajaan telah memperuntukkan dana kepada KPT dengan mengambil kira keperluan operasi universiti, pembangunan penyelidikan, peningkatan kualiti pengajaran serta aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh ekonomi berasaskan ilmu. Justeru, peruntukan yang telah diumumkan itu wajar dipertahankan agar perancangan universiti tidak terganggu.
Pendidikan tinggi bukan sekadar satu komponen perbelanjaan kerajaan. Ia merupakan pelaburan strategik yang menentukan masa depan negara. Setiap ringgit yang dilaburkan dalam universiti menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta peningkatan produktiviti ekonomi.
Mengurangkan pelaburan ini mungkin kelihatan sebagai penjimatan dalam tempoh terdekat, tetapi kos sebenar akan ditanggung oleh negara dalam bentuk kelembapan inovasi, kekurangan bakat, penurunan daya saing dan kelemahan keupayaan Malaysia untuk bergerak ke arah ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi.
Realiti di universiti hari ini semakin mencabar. Kos utiliti meningkat. Bangunan dan makmal perlu diselenggara. Peralatan pengajaran dan penyelidikan semakin mahal. Akses kepada jurnal, pangkalan data, perisian akademik dan teknologi digital memerlukan pembiayaan berterusan.
Pada masa yang sama, universiti terus dituntut meningkatkan ranking, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperbanyak penyelidikan berimpak tinggi, mengukuhkan pengantarabangsaan dan menyokong agenda negara.
Semua tuntutan ini tidak berlaku secara percuma. Kualiti memerlukan pelaburan. Penyelidikan memerlukan dana. Makmal memerlukan peralatan. Mahasiswa memerlukan persekitaran pembelajaran yang baik. Ahli akademik memerlukan ruang dan sokongan untuk membangunkan kepakaran, menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepada masyarakat.
Universiti awam tidak boleh diminta mencapai standard global dengan ruang pembiayaan yang semakin disempitkan. Tidak munasabah untuk menuntut universiti melonjak dalam ranking, menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia, memperkasa graduan dan menyokong industri strategik negara, tetapi pada masa yang sama mengecilkan ruang kewangan yang diperlukan untuk mencapai semua sasaran tersebut.
Sebab itu, cadangan pengurangan peruntukan KPT tidak boleh dilihat hanya sebagai angka dalam dokumen fiskal. Di sebalik angka tersebut terdapat kuliah yang perlu berjalan, makmal yang perlu berfungsi, penyelidikan yang perlu diteruskan, pelajar yang perlu dibantu dan bakat akademik yang perlu dipertahankan. Apa yang kelihatan sebagai penjimatan hari ini boleh menjadi kerugian besar kepada negara pada masa hadapan.
Kesan pengurangan dana akhirnya akan dirasai oleh mahasiswa. Kualiti pembelajaran bergantung kepada kemudahan yang baik, makmal yang lengkap, perpustakaan yang mempunyai akses kepada bahan rujukan terkini serta tenaga akademik yang sentiasa meningkatkan kompetensi mereka.
Dalam bidang seperti perubatan, kejuruteraan, kecerdasan buatan, semikonduktor dan sains gunaan, pembelajaran berkualiti memerlukan pelaburan berterusan dalam peralatan moden dan teknologi terkini.
Jika dana semakin sempit, universiti mungkin terpaksa menangguhkan penyelenggaraan kemudahan, mengehadkan pengambilan kakitangan baharu, mengurangkan program pembangunan akademik, menangguhkan pembelian peralatan atau mengecilkan ruang sokongan kepada penyelidikan. Kesan ini mungkin tidak kelihatan serta-merta, tetapi ia akan menjejaskan pengalaman pembelajaran, kualiti graduan dan daya saing universiti dalam jangka panjang.
Penyelidikan dan inovasi juga berisiko terjejas. Universiti merupakan pemacu utama penyelidikan negara dalam pelbagai bidang strategik termasuk kesihatan, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, ekonomi digital dan perubahan iklim.
Banyak penyelesaian kepada cabaran negara lahir daripada penyelidikan universiti. Mengurangkan sokongan kepada universiti bermakna mengecilkan ruang negara untuk berinovasi.
Dalam suasana persaingan serantau yang semakin sengit, Malaysia tidak sepatutnya memperlahankan pelaburan dalam ilmu dan penyelidikan.
Negara lain sedang memperkukuh universiti, menarik bakat terbaik, melabur dalam teknologi baharu dan membina ekosistem inovasi. Jika pembiayaan pendidikan tinggi disempitkan, keupayaan negara untuk bersaing juga akan terjejas.
Pada masa sama, realiti kewangan universiti perlu diakui. Universiti awam hari ini berdepan tekanan kewangan yang semakin kompleks. Kos operasi meningkat, tuntutan kualiti semakin tinggi, manakala keperluan penyelidikan, pendigitalan dan pembangunan bakat tidak boleh ditangguhkan. Dalam keadaan ini, universiti memang perlu lebih kreatif dan proaktif dalam menjana pendapatan sendiri.
Namun, keperluan universiti menjana pendapatan tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan mengurangkan tanggungjawab asas terhadap pendidikan tinggi awam. Universiti awam ialah institusi amanah negara, bukan entiti komersial biasa.
Penjanaan pendapatan universiti perlu dilaksanakan secara sah, telus dan berasaskan prinsip merit, tanpa menjejaskan akses pelajar B40 dan M40 serta tanpa menimbulkan persepsi bahawa pendidikan tinggi awam semakin bergerak ke arah sistem dua darjat.
Oleh itu, isu pembiayaan pendidikan tinggi perlu dilihat secara seimbang. Universiti perlu diberi ruang untuk memperkukuh sumber pendapatan melalui penyelidikan, perundingan, wakaf, endowmen, kerjasama industri, program profesional dan pengantarabangsaan.
Namun, pembiayaan asas daripada kerajaan tetap penting bagi memastikan universiti awam terus berfungsi sebagai institusi ilmu, mobiliti sosial dan pembangunan negara.
Penjimatan kerajaan tidak seharusnya bermula dengan mengurangkan pelaburan terhadap sektor strategik seperti pendidikan tinggi. Penjimatan boleh dicapai melalui pengukuhan tadbir urus, pengurangan ketirisan, rasionalisasi perbelanjaan pentadbiran, pendigitalan proses kerja dan peningkatan kecekapan pengurusan kewangan. Apa yang perlu dikurangkan ialah pembaziran, bukan pelaburan terhadap ilmu.
Justeru, cadangan pengurangan peruntukan sekitar RM2.39 bilion terhadap KPT wajar dipertimbangkan semula. Kerajaan disaran mengekalkan peruntukan KPT sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan universiti dapat melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa gangguan.
Malaysia sedang berusaha menjadi negara berteknologi tinggi, berdaya saing dan berpendapatan tinggi. Matlamat tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sistem pendidikan tinggi yang kukuh. Pendidikan tinggi tidak boleh dilihat sebagai beban fiskal. Ia adalah pelaburan strategik negara.
Apa yang dijimatkan hari ini mungkin kelihatan besar di atas kertas, tetapi apa yang hilang daripada segi bakat, penyelidikan, inovasi dan daya saing negara boleh menjadi kerugian yang jauh lebih besar kepada generasi akan datang.
Jika negara benar-benar mahu maju, pendidikan tinggi mesti dipertahankan, bahkan perlu di perkukuhkan lagi. Universiti awam tidak boleh dibiarkan memikul tuntutan besar negara dengan sokongan kewangan zaman yang semakin sempit. Penjimatan fiskal penting, tetapi masa depan pendidikan tinggi negara jauh lebih penting.
*Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor di University College TATI (UC TATI)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
