Isu pelajar antarabangsa: Bahas dasar, bukan bakar emosi

SEKALI lagi Dr Haim Hilman Abdullah cuba membakar emosi rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor dengan membuat dakwaan-dakwaan mengelirukan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyembunyikan fakta kebanjiran pelajar antarabangsa di universiti awam, pelajar antarabangsa “merampas” tempat anak tempatan dan masalah kebolehpasaran graduan Melayu berpunca daripada kehadiran pelajar asing.
Pertama, dakwaan bahawa perkara ini “tidak diberitahu oleh kementerian berkaitan” adalah tidak benar sama sekali.
KPT melalui Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman, telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 26 Ogos 2025 dan 17 September 2025 mengenai jumlah pelajar antarabangsa di universiti awam, termasuk pecahan lima Universiti Penyelidikan, status prasiswazah dan pascasiswazah, yuran penuh pelajar antarabangsa serta jaminan bahawa pelajar tempatan tetap diberi keutamaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, juga menjawab isu ini sewaktu ia ditimbulkan oleh Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Negara pada 2 September 2025, termasuk menjelaskan bahawa di peringkat prasiswazah universiti awam, 497,020 orang atau 97.3 peratus ialah pelajar Malaysia manakala pelajar antarabangsa hanya 13,986 orang atau 2.7 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut mendedahkan angka yang sama di Dewan Rakyat, termasuk pecahan prasiswazah dan pascasiswazah, sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How, pada 4 Disember 2025.
Jika benar seseorang ahli politik mahu mendapatkan pencerahan rasmi jalan terbaik ialah bertanya di Parlimen sebagaimana beberapa Ahli Parlimen dan Senator telah lakukan.
Apa yang menjadi persoalan ialah apabila isu yang sama dibawa berulang kali oleh beliau di Dewan Undangan Negeri, muktamar parti, media berbahasa Cina dan kini pentas PRN Johor dengan nada untuk membakar emosi pengundi berbanding memperbaiki dasar maka tidakkah beliau letih mengulang isu sama yang telah banyak kali diberikan jawapan?
Dari segi data, angka 56,565 pelajar antarabangsa di universiti awam pada 2025 memang terdapat dalam Statistik Pendidikan Tinggi KPT.
Jumlah keseluruhan enrolmen universiti awam ialah 634,706 orang, terdiri daripada 578,141 pelajar warganegara dan 56,565 bukan warganegara.
Ini bermakna pelajar tempatan masih membentuk 91.1 peratus enrolmen universiti awam.
Bagi lima universiti utama yang disebut — UM, UKM, UPM, USM dan UTM — jumlah pelajar antarabangsa ialah 41,097 orang. Namun begitu, angka 41,097 itu bukan semuanya berebut tempat Ijazah Sarjana Muda.
KPT melalui jawapan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025 telah menjelaskan bahawa di lima Universiti Penyelidikan (RU) 38,388 pelajar antarabangsa pada 2024 membentuk 21.3 peratus, tetapi 15.8 mata peratusan daripadanya ialah pelajar pascasiswazah dan hanya 5.5 mata peratusan ialah prasiswazah.
Malah, 28,383 pelajar antarabangsa di lima universiti tersebut ialah pelajar pascasiswazah. Ini penting kerana Sarjana dan PhD bukan laluan yang sama dengan anak tempatan yang memohon tempat Ijazah Sarjana Muda melalui UPU selepas SPM, STPM, matrikulasi atau diploma.
Hujah “mengapa tempat ini tidak diberi kepada anak Pak Mat di kampung, Ah Chong di Johor Bahru atau Muthusamy di Selayang” pula tidak berbangkit kerana pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat pelajar tempatan.
KPT telah menegaskan bahawa kuota UPU untuk pelajar tempatan tidak dikorbankan manakala kemasukan antarabangsa melalui saluran berasingan dan dikenakan yuran penuh tanpa subsidi kerajaan.
Malah, tempat pelajar tempatan ditambah. Pada 2025, kuota kemasukan bersubsidi melalui UPU ditambah lebih 8,000 tempat dan lebih 3,000 tempat tambahan disediakan bagi kursus kritikal.
Untuk 2026 pula, KPT menambah 1,500 tempat baharu di lima Universiti Penyelidikan manakala penambahan tempat dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan, perakaunan dan undang-undang turut diumumkan.
Lebih penting lagi, pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan dasar baharu yang muncul secara senyap.
Ia merupakan sebahagian daripada hala tuju besar negara yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015–2025 Pendidikan Tinggi yang meletakkan agenda pengantarabangsaan sebagai salah satu strategi memperkukuh daya saing pendidikan tinggi Malaysia.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 pula meneruskan dasar ini dengan sasaran 500,000 pembelajar antarabangsa menjelang 2035, selepas sasaran 250,000 menjelang 2025 dalam PPPM belum dicapai sepenuhnya.
Dalam hal ini, ahli politik yang matang sepatutnya membahaskan dasar-dasar besar seperti PPPM dan RPTM secara menyeluruh seperti membincangkan apakah sasaran yang ditetapkan adalah realistik, apakah manfaat ekonominya, bagaimana kawalan kualiti dilaksanakan dan bagaimana kepentingan pelajar tempatan terus dijamin.
Perbahasan dasar sepatutnya bergerak pada tahap itu bukan diperkecilkan kepada isu picisan yang dipetik secara sporadik untuk mencetuskan keresahan awam.
RPTM juga menyebut bahawa Malaysia mendahului Asia Tenggara dari segi tarikan pelajar antarabangsa, namun bahagian Malaysia dalam pasaran pendidikan global masih kecil, iaitu sekitar 1.45 peratus.
Dengan pasaran pendidikan global dijangka mencecah USD433 bilion menjelang 2030, isu ini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi ilmu negara.
Maka jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi bantahlah pada akar dasarnya, bahaskan dokumen dasarnya dan kemukakan alternatif yang lebih baik.
Jangan sekadar mengangkat angka tertentu secara terpisah untuk dijadikan modal kempen pilihan raya semata-mata.
Dakwaan bahawa 1.65 juta anak Melayu berijazah terpaksa bekerja tidak setara dengan kelulusan juga perlu dipisahkan daripada isu pelajar antarabangsa.
Masalah ketidakpadanan pekerjaan graduan bukan berpunca daripada kehadiran pelajar asing di universiti awam.
RPTM sendiri menekankan isu skill-related underemployment, iaitu graduan berkelulusan tinggi bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau rendah mahir, berpunca terutamanya daripada kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dan jurang antara graduan yang dihasilkan dengan kekosongan kerja yang tersedia.
Jadi penyelesaiannya ialah penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, reformasi kurikulum, latihan industri yang lebih kuat, hubungan universiti-industri, dan peningkatan kemahiran bukan menyalahkan pelajar asing.
Akhirnya, bahagian paling sukar untuk Dr Haim Hilman jawab ialah rekod beliau sendiri.
Dalam amanat beliau sebagai Naib Canselor UUM sempena Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-38 pada 17 Februari 2022, beliau mengaitkan promosi antarabangsa, kemasukan pelajar luar dan peningkatan ranking UUM sebagai pencapaian universiti.
Pada 11 Oktober 2022 pula, beliau menyambut baik peningkatan 13.97 peratus kemasukan pelajar antarabangsa ke UUM dan menyifatkannya sebagai bukti agenda pengantarabangsaan universiti membuahkan hasil.
Pada 14 Oktober 2022, beliau juga berbangga apabila penampakan pengantarabangsaan UUM meningkat antara lain berpunca daripada peningkatan jumlah pelajar dan staf antarabangsa.
Dalam bahasa politik, ini boleh disebut sebagai satu bentuk hipokrasi. Dalam bahasa akademik pula, ia merupakan satu ketidakkonsistenan intelektual yang serius.
Ketika menjadi Naib Canselor, pelajar antarabangsa dianggap tanda kejayaan universiti.
Ketika berada di pentas politik, dasar yang sama digambarkan seolah-olah mengancam anak tempatan.
Menjadikan pelajar antarabangsa sebagai kambing hitam kepada masalah kemasukan universiti dan pekerjaan graduan ialah membina tafsiran yang tempang kepada fakta.
*Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
