Bangsa Johor perlu pilih pembangkang berkesan

DALAM suasana pilihan raya, sementelah lagi menjelang hari mengundi, sememangnya menjadi kebiasaan banyak pihak menumpukan kepada kemungkinan gabungan parti tertentu dalam memenangi pilihan raya itu seterusnya membentuk kerajaan.
Perhatian terhadap perkara tersebut walaupun munasabah, harus diimbangi dengan penelitian mengenai kewujudan blok pembangkang yang berkesan dalam menjalankan fungsi semak dan imbang kepada kerajaan.
Kewujudan pembangkang yang berkesan di dewan perundangan adalah penting bagi memastikan proses demokrasi tidak berakhir setakat sejurus sesebuah kerajaan dibentuk.
Sebaliknya, pembangkang mempunyai peranan yang besar untuk meneliti setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan agar tertakluk kepada semak dan imbang. Pada masa yang sama, mereka turut menawarkan pilihan dasar sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.
Keberkesanan pembangkang ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk mengemukakan cadangan yang praktikal, bertindak secara bertanggungjawab serta membina kesepakatan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Apabila pembangkang dapat menjalankan fungsi semak dan imbang secara konstruktif, kualiti tadbir urus kerajaan dapat dipertingkatkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Dalam konteks negeri Johor, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Undangan (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 yang berbaki beberapa hari lagi menjelang hari mengundi hampir pasti.
Jangkaan tersebut bukanlah memandang rendah kebolehmenangan pesaing terdekatnya iaitu Pakatan Harapan (PH), sebaliknya bersandarkan rekod BN yang berjaya menukar kedudukannya sebagai pembangkang dengan hanya 19 kerusi pasca PRU ke-14 kepada kerajaan dengan majoriti 40 kerusi pasca PRU DUN Johor ke-15.
Bahkan, dengan rekod tadbir urus yang baik pada masa ini, tidak mustahil BN juga akan berjaya menguasai semula undi keseluruhan melebihi 50 peratus sebagaimana yang diperolehnya dalam semua pilihan raya yang diadakan sebelum 2018.
Disebabkan itu, persoalan yang lebih relevan sekarang dan sepatutnya menjadi pertimbangan utama oleh bangsa Johor ialah mengenai penentuan blok pembangkang.
Sebagai soroton, kekalahan di 38 kerusi dalam PRU DUN Johor ke-15 pada Mac 2022 yang lalu telah menjadikan PH sebagai pembangkang.
Dalam pilihan raya itu, persaingan dan pertembungan antara PH dan BN adalah sangat ketara, sekali gus mewajarkan kebolehmenjadian PH sebagai pembangkang yang berkesan.
Namun, landskap politik berkenaan berubah hanya beberapa bulan selepas itu iaitu pada November 2022 pasca PRU ke-15 apabila BN dan PH bersekutu membentuk kerajaan Persekutuan.
Walaupun masih berstatus lawan di peringkat negeri, hubungan sebagai kawan di peringkat Persekutuan itu sedikit sebanyak pasti melemahkan ‘bargaining power’ yang dipunyai oleh BN dan mengendurkan fungsi ‘check and balance’ PH ke atas BN demi mengekalkan kestabilan kuasa di kedua-dua peringkat negeri dan Persekutuan.
Hubungan pragmatik seumpama ini walaupun mempunyai kelebihan tersendiri, namun tidak boleh menafikan keterbatasannya.
Sekiranya ia berlanjutan, tidak mustahil kerajaan negeri Johor akan terus menghadapi cabaran atau terpaksa banyak mengalah dalam tuntutannya mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar daripada Persekutuan, mempunyai peranan dan memperoleh manfaat yang lebih baik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mempercepatkan projek High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri itu dan mobiliti rakyatnya.
Seperkara lagi, dominasi DAP dalam PH, sekalipun hanya sebagai pembangkang, tetap dilihat amat tidak sesuai dengan sosiodemografi Negeri Johor yang mempunyai populasi sekitar 60 peratus kaum Bumiputera dan beragama Islam.
Ketidaksesuaian ini bukanlah semata-mata andaian bahkan sebenarnya sudah pun diterjemahkan oleh Bangsa Johor sendiri melalui pilihan raya sebelum ini. Jumlah kerusi yang dimenangi oleh DAP berkurang daripada 14 kepada 10 sahaja, manakala jumlah keseluruhan undi yang diperoleh juga berkurang daripada 21 peratus kepada hanya 13 peratus.
Momentum penolakan terhadap parti yang sering dilihat tidak mesra dengan agenda keIslaman dan mutakhir ini pula menimbulkan suasana tidak senang melibatkan institusi diraja dijangka akan berkembang lebih besar pada 11 Julai nanti.
Justeru, alternatif yang ada buat bangsa Johor ialah Perikatan Nasional (PN). Walaupun kemungkinan gabungan parti yang terdiri daripada Pas, Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Pejuang ini boleh memenangi lebih banyak kerusi tetap ada, namun berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi iaitu sebanyak 33, agak mustahil gabungan parti ini boleh mendapatkan majoriti mudah 29 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Tambahan pula, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga dalam kenyataan beliau pada 27 Jun 2026 secara jelas telah menggariskan sasaran parti itu dalam PRU DUN Johor ke-15 ini iaitu untuk menjadi pembangkang dan penasihat kepada kerajaan.
Mengukuhkan lagi kenyataan itu, menyusul beberapa hari selepas itu Pas menyeru pula para pengundi agar tidak memberikan undi kepada PH bahkan mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya memberikan undi kepada BN di kerusi yang tidak ditandingi oleh PN.
Strategi tersebut selain bakal memberikan kelebihan kepada Pas atau PN sendiri sudah pasti ia memberikan dukungan tambahan kepada BN untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kerajaan.
Namun, natijah yang jauh lebih penting ialah ia dapat meluaskan dan mengukuhkan jajaran kuasa politik Melayu-Islam dan merintis penyatuan ummah yang lebih bermakna pada masa hadapan sekalipun PN dan BN masih bukan sekutu pada masa ini.
Dalam situasi BN hampir pasti membentuk kerajaan, maka bangsa Johor juga berhak memperoleh sebuah pembangkang yang berwibawa, berprinsip dan benar-benar mampu mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Johor.
Dalam temu bual saya dengan beberapa calon daripada pelbagai parti, saya paling tertarik dengan kesimpulan oleh calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Anuar Hayan.
Kata beliau, Johor tidak semestinya memerlukan pertukaran kerajaan pada ketika ini, tetapi Johor sangat memerlukan pembangkang yang berani menegur, bijak memberi cadangan dan tegas mempertahankan kepentingan negeri yang majoriti penduduknya Melayu-Islam.
Justeru, memangkah calon daripada Pas atau parti komponen PN yang lain di lebih banyak kawasan ditandingi parti itu dilihat sebagai pilihan yang lebih strategik buat bangsa Johor untuk memiliki pembangkang yang benar-benar berkesan di DUN Johor.
*Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

