“Yang dipenjara tak pernah minta dibebaskan melalui saluran pilihan raya," – Pemuda UMNO Johor

Noor Azleen Ambros
Noor Azleen Ambros
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sepatutnya menjadi medan memperkenalkan idea, tawaran serta hala tuju masa depan Bangsa Johor didakwa semakin dicemari dengan politik kebencian.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, lebih mengecewakan apabila terdapat pihak yang didakwa terperangkap dengan naratif kebencian ciptaan sendiri sehingga mengabaikan nilai akhlak yang sering dilaungkan.

“Bercerita tentang akhlak, tetapi tindakan dan apa yang keluar dari mulut menyerlahkan perangai sebenar. Cerita tentang reformis, tetapi yang keluar pelbagai jenis ugutan dan tohmahan kerana kuasa telah menguasai diri.

“Yang dipenjara tak pernah pun minta dibebaskan melalui saluran pilihan raya. Yang dibebaskan dari penjara melalui saluran pilihan raya pula merasakan hanya pilihan raya satu-satunya jalan keluar untuk bebas dari penjara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa bagi tujuan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ucapannya pada ceramah mega PH di DUN Serom pada Ahad, beliau turut menegaskan bahawa PRN Johor sebenarnya tidak perlu diadakan pada ketika ini.

Dalam pada itu Noor Azleen menegaskan, kempen pilihan raya seharusnya dipenuhi dengan tawaran dasar dan idea membina, bukannya dihiasi dengan kata-kata nista, momokan, ugutan serta fitnah.

“Sepatutnya kempen diwarnai dengan pelbagai idea segar dan tawaran mengenai masa depan Bangsa Johor, namun ia dicemari dengan kata-kata keji. Kata orang, apa yang keluar dari mulut itu cerminan isi hati.

“Dua hari menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, tetapi yang keluar hanyalah perkara tidak baik mengenai orang lain, bukannya apa yang hendak dilakukan untuk rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan dan tutur kata pemimpin lebih mencerminkan keperibadian sebenar berbanding slogan yang dibawa ketika berkempen.

“Ingatlah, pangkat dan kuasa hanya sementara.Bangsa Johor tak mudah alpa.

"Bangsa Johor tak mudah digula-gula.” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!