Manifesto PH dilancar tepat pada masanya - Fahmi

Fahmi hadir pada Program Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Istana di Balai Raya Kampung Istana, pada Sabtu. Foto Bernama
Fahmi hadir pada Program Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Istana di Balai Raya Kampung Istana, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil menegaskan manifesto PH "Johor Untuk Semua” bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dilancarkan tepat pada masanya selepas kandungannya dimuktamadkan dan dipersetujui pimpinan tertinggi gabungan itu.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tanggapan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming daripada DAP bahawa kelewatan pelancaran manifesto boleh melemahkan jentera kempen PH itu, jauh tersasar daripada realiti.

"Bagi PH, kita memilih waktu selepas kita merasakan bahan dan kandungan manifesto telah cukup lengkap serta mendapat persetujuan pimpinan tertinggi, termasuk Perdana Menteri.

"Saya kira manifesto itu dilancarkan tepat pada masanya, iaitu pada hari Jumaat yang bersamaan dengan permulaan minggu kedua kempen. Selepas kita memperkenalkan calon, kini kedua-dua pihak memperagakan manifesto masing-masing. Saya rasa ia tepat pada masanya. Tidak menjadi isu,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama-sama penduduk Kampung Istana, di sini pada Sabtu.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas ramalan Kian Ming bahawa BN akan mencatat kemenangan besar pada PRN Johor berikutan PH yang didakwanya lemah, susulan ketiadaan naratif kempen yang mantap, kegagalan menamakan calon Menteri Besar, kekurangan pemimpin kanan yang bertanding serta kelewatan pelancaran manifesto gabungan itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Felicia Poh Rui Ling.

Mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bahawa manifesto PH hanya copy paste manifesto Barisan Nasional (BN), Fahmi berkata, Khairy dilihat lebih aktif berkempen berbanding Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Saya lihat Khairy Jamaluddin seolah-olah berkempen lebih kuat daripada Onn Hafiz. Silap-silap Khairy Jamaluddin bersedia untuk berdebat dengan Dr Maszlee Malik (calon PH DUN Puteri Wangsa).

"Alangkah baiknya kalau Onn Hafiz mempunyai keupayaan dan kewibawaan seperti Khairy Jamaluddin. Patut semangat Khairy Jamaluddin itu copy paste kepada Onn Hafiz,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau yakin isu membabitkan DAP termasuk dakwaan yang tular di media sosial mengenai sokongan seorang pemimpin parti itu terhadap pengampunan seorang bekas Perdana Menteri, tidak akan menjejaskan momentum kempen PH.

Beliau berkata, keyakinan itu disandarkan kepada sambutan dan sokongan akar umbi yang terus kukuh pada setiap program PH yang dihadirinya sepanjang tempoh berkempen.

"Kalau kita lihat dari segi kehadiran di acara-acara PH, termasuk yang saya hadiri beberapa hari lepas, sambutan dan sokongan daripada akar umbi sangat kukuh dan utuh.

"Calon Pakatan Harapan bagi DUN Bentayan (Ng Yak Howe) juga daripada DAP. Saya melihat kenyataan-kenyataan seperti yang dibuat oleh saudari Marina tidak mendatangkan kesan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menerusi hantaran di media sosial berkata, persaraannya daripada dunia politik akibat kecewa dengan "sandiwara” pemimpin DAP berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala 17 Julai untuk pengundian awal.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!