Albania bukan untuk dijual!

TIRANA - Puluhan ribu rakyat Albania berhimpun di ibu negara pada Sabtu, sempena protes terbesar sejak gerakan membantah pembinaan sebuah resort mewah yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mula tercetus di negara itu.
Perhimpunan yang berlangsung di Tirana itu merupakan siri bantahan ke-35 berturut-turut sejak akhir Mei, apabila rakyat mula menzahirkan ketidakpuasan terhadap projek pembangunan hotel mewah di kawasan rizab alam semula jadi di pesisir negara Balkan berkenaan.
Projek bernilai kira-kira AS$4.6 bilion (RM18.72 bilion) itu dikatakan melibatkan pembangunan resort mewah yang dikaitkan dengan anak perempuan Trump, Ivanka Trump, serta suaminya Jared Kushner, sekali gus mencetuskan kebimbangan awam terhadap ketelusan proses kelulusan serta impak alam sekitar.
Menurut laporan AFP, suasana protes yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar tegang apabila sebahagian penunjuk perasaan bertindak membaling batu dan objek ke arah pihak polis serta cuba merempuh sekatan keselamatan berhampiran bangunan kerajaan.
Pihak polis bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata, semburan lada dan meriam air bagi menyuraikan orang ramai.
Beberapa anggota keselamatan dilaporkan cedera, manakala sekurang-kurangnya 25 penunjuk perasaan ditahan.
Ketegangan turut mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi tempatan yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berlebihan pihak berkuasa dalam mengawal keadaan.
Rakyat hilang kepercayaan
Salah seorang peserta protes, Alketa Ademi berkata, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan.
“Kurangnya ketelusan, sikap angkuh — sudah cukup! Perdana Menteri perlu berundur,” katanya kepada AFP.
Gerakan yang dikenali sebagai 'Revolusi Flamingo' itu mendapat namanya daripada kawasan rizab alam sekitar yang menjadi habitat burung flamingo dan burung migrasi lain, yang didakwa bakal terjejas akibat projek pembangunan berkenaan.

Para penunjuk perasaan turut membawa sepanduk bertulis 'Albania bukan untuk dijual' serta mendesak kerajaan menarik balik undang-undang berkaitan kawasan perlindungan alam sekitar yang didakwa memudahkan kelulusan projek tersebut.
Dalam masa sama, terdapat juga laporan bahawa rakyat Albania dari luar negara pulang ke Tirana bagi menyertai demonstrasi sebagai tanda solidariti terhadap gerakan bantahan itu.
Protes berterusan itu kini dilihat sebagai tekanan besar terhadap kerajaan Perdana Menteri Edi Rama, yang berdepan desakan supaya meletakkan jawatan susulan isu ketelusan dan pengurusan projek pembangunan tersebut.
Walaupun kerajaan sebelum ini mempertahankan projek itu sebagai pelaburan asing berskala besar yang boleh merancakkan ekonomi negara, pihak penentang menegaskan ia berisiko menjejaskan alam sekitar serta kepentingan awam, selain menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus kerajaan.
Dalam pada itu, demonstrasi dan perhimpunan ini turut mendapat perhatian meluas di media sosial, termasuk sokongan daripada diaspora Albania di luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemerhati hak asasi tempatan, Jawatankuasa Helsinki Albania, turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan insiden kekerasan dan menyeru agar siasatan bebas dijalankan berhubung tindakan pihak berkuasa ketika mengawal demonstrasi.
Setakat ini, kerajaan Albania masih belum mengeluarkan kenyataan baharu berhubung tuntutan penunjuk perasaan, namun tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Edi Rama dijangka terus meningkat sekiranya isu ketelusan dan projek pembangunan berkenaan tidak diselesaikan dalam masa terdekat. -AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

