Haaland hantar Gabriel dan Brazil pulang

Haaland (kanan) berjaya melepasi halangan Gabriel ketika aksi Norway menentang Brazil di Stadium New York New Jersey pada Isnin. - FOTO: AFP
Haaland (kanan) berjaya melepasi halangan Gabriel ketika aksi Norway menentang Brazil di Stadium New York New Jersey pada Isnin. - FOTO: AFP
A
A
A

ERLING Haaland muncul wira Norway apabila meledak dua gol untuk menyingkirkan Brazil 2-1 pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey, sekali gus membawa negaranya mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Dalam perlawanan itu, Haaland sekali lagi mengatasi pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes yang sebelum ini beberapa kali terbabit dalam insiden panas dengan penyerang Manchester City itu di pentas Liga Perdana Inggeris.

Sebelum Haaland mencuri tumpuan, Brazil berpeluang berada di depan seawal minit ke-14 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Matheus Cunha dijatuhkan Kristoffer Ajer di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan persoalan apabila Antonio Nusa dilihat terlebih dahulu dikasari dalam gerakan sama, namun insiden berkenaan tidak diambil kira oleh pengadil Ismail Elfath mahupun video bantuan pengadil (VAR).

Bruno Guimaraes yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti gagal memanfaatkan peluang apabila percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.

Kegagalan itu akhirnya mengundang padah buat Brazil apabila Haaland memecahkan kebuntuan menerusi tandukan pada minit ke-79 selepas berjaya melepasi kawalan Gabriel di dalam kotak penalti.

Penyerang berusia 25 tahun itu kemudian melengkapkan aksi cemerlangnya dengan rembatan padu pada minit ke-90 untuk meletakkan Norway selesa di depan.

Brazil hanya mampu merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Neymar pada minit ke-100, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk mengubah keputusan perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Norway melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak menyertai kejohanan berprestij itu.

Artikel Berkaitan:

Lebih manis, pencapaian bersejarah itu hadir pada penampilan pertama Norway di pentas Piala Dunia selepas kali terakhir layak 28 tahun lalu pada edisi 1998 di Perancis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!