Polis berkuda di kawasan tumpuan


IPD Serdang perkenal rondaan bersama Unit Berkuda PDRM dalam usaha pencegahan jenayah.
IPD Serdang perkenal rondaan bersama Unit Berkuda PDRM dalam usaha pencegahan jenayah.
A
A
A

SERDANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengambil pendekatan lebih agresif memerangi jenayah dengan memperkenalkan rondaan cegah jenayah bersama Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, ia sejajar dengan objektif PDRM berpandukan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 dalam memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Menurutnya, rondaan berkuda itu tertumpu di kawasan tumpuan orang ramai meliputi pusat perniagaan, pasaraya besar, kawasan bank, institusi kewangan serta taman perumahan.

“Bertepatan tema Hari Polis iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, IPD Serdang ambil pendekatan agresif perangi jenayah dan tunjukkan kehadiran polis di kawasan tumpuan dengan perkenalkan rondaan cegah jenayah bersama Unit Berkuda PDRM.

“Ia dijalankan bersama pegawai polis dari balai induk iaitu Balai Polis Bandar Kinrara, Balai Polis Puchong Jaya, Balai Polis Seri Kembangan dan Balai Polis Serdang bersama pegawai polis dari Unit Berkuda PDRM didatangkan khas dari Cheras dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, di samping langkah pencegahan jenayah, anggota polis yang meronda juga akan beramah mesra bersama masyarakat setempat selain mengedarkan risalah pencegahan jenayah.

Ia sekaligus memberi peluang kepada masyarakat menyalurkan sebarang permasalahan sama ada berkaitan jenayah, penyalahgunaan dadah, jenayah komersil dan lain-lain maklumat untuk tindakan pihak polis.

“Diharapkan dengan langkah agresif ini, masyarakat setempat dapat ambil peluang serta memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk bersama-sama mencegah jenayah seterusnya mengurangkan perasaan takut masyarakat menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Artikel Berkaitan: